
Rockology Concert Tour 2025 yang bakal berlangsung di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor pada 5 Julai ini tetap diteruskan seperti dirancang, dengan pihak penganjur turut mengumumkan tawaran promosi istimewa untuk para peminat muzik rock tanah air.
RPM Events Sdn. Bhd. menegaskan bahawa tiada sebarang pembatalan konsert berlaku, walaupun wujud khabar angin tular di media sosial. Segala persiapan kini sedang giat dijalankan melibatkan pasukan teknikal dan keselamatan bagi memastikan konsert berlangsung lancar.
Dato’ Awie yang akan bergandingan bersama Search (Kid Din) dalam konsert itu turut menepis dakwaan pembatalan dan mengajak peminat hadir beramai-ramai memeriahkan malam yang dijanjikan penuh nostalgia dan semangat rock.
“Saya rasa ramai yang tak sabar nak hidupkan malam rock itu dan nak kembalikan nostalgia 80an dan 90an di Johor bersama kami nanti. Walau apa pun yang berlaku kami tetap akan gegarkan EduCity seperti yang dijanjikan. InshaAllah…
“Jangan percaya cakap-cakap kosong. Jumpa kami di Rockology, 5 Julai 2025 nanti bawa semangat rock tu sekali, kita nyanyi sama-sama,” katanya.
Konsert eksklusif ini dijangka menyatukan dua legenda rock tanah air dalam satu pentas bersejarah dan penuh tenaga, dengan pihak penganjur menyifatkannya sebagai lebih daripada sekadar persembahan muzik.
Menurut Pengarah RPM Events, Dato’ Eddy, Rockology ialah sebuah gerakan untuk menghidupkan semula semangat rock sejati dan pengalaman yang ditawarkan melebihi jangkaan sebuah konsert biasa.
Sempena penganjuran konsert di Johor ini, RPM Events menawarkan promosi khas kepada peminat.
Bagi setiap pembelian lima tiket dalam satu transaksi, pembeli akan menerima satu tiket tambahan secara percuma. Promosi ini sah untuk semua kategori tiket dan tertakluk kepada terma dan syarat.
Selain itu, pemegang tiket juga berpeluang dipilih secara rawak untuk memenangi pendrive edisi khas yang mengandungi rakaman latihan eksklusif Rockology bersama Dato’ Awie dan Search Kid Din.
Konsert akan berlangsung pada Sabtu, 5 Julai 2025 bermula jam 8 malam di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri. Harga tiket ditawarkan dalam julat antara RM98 hingga RM350 mengikut kategori.
Tiket boleh dibeli secara dalam talian menerusi https://rpm.ubertickets.asia/johor atau melalui laman media sosial rasmi RPM Events.
Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada penaja rasmi yang menjayakan konsert ini, termasuk ibis Styles Johor Iskandar Puteri, F&N, The J & Lesong, EMS Services dan Perbadanan Awam Johor (PAJ).
Jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada detik bersejarah Rockology Johor — sambil menikmati harga promosi dan peluang memenangi hadiah eksklusif!