Menyambut ketibaan Ramadan dan Syawal 2026 dengan penuh gaya, label hiburan terkemuka, Rocketfuel Entertainment, mempertaruhkan tujuh buah lagu raya baharu yang menjanjikan variasi genre daripada irama rancak M-Pop sehinggalah balada yang meruntun jiwa.
Membawa tema “Bila Bersama, Lagi Jadi” selari dengan kempen Astro Salam Ramadan 2026, koleksi lagu ini bukan sekadar halwa telinga, malah dihimpunkan dalam sebuah EP khas yang membentuk satu “universe” raya yang saling berkaitan.
Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee berkata, kepelbagaian lagu yang diterbitkan adalah cerminan kepada masyarakat Malaysia yang pelbagai.
“Kami mahu setiap lagu raya tahun ini membawa identiti yang jelas. Ada yang ceria, ada yang reflektif, dan ada juga yang moden. Inilah realiti masyarakat kita yang berbeza latar belakang dan rasa, tetapi bersatu apabila tibanya Syawal,” katanya.

Penyanyi dan komposer, Hael Husaini, antara yang mencuri tumpuan apabila tampil dengan dua buah karya.
Selain single solo berjudul Lagu Raya Untukmu yang dedikasikan buat peminat, Hael turut berkolaborasi bersama kumpulan ALPHA dalam lagu rancak, Raya Macam Raya.
ALPHA turut mempamerkan sisi lebih matang dan emosional menerusi lagu Rindu Raya yang sudah meraih lebih 200,000 tontonan di YouTube, manakala Wani Kayrie kembali menggegarkan suasana dengan Kampung Kita, kesinambungan kepada lagu tularnya, Cak Cak Cekuk.
Bagi memberikan dimensi berbeza, lagu Duit Raya nyanyian Sharul Kamal dan Mierul Aiman hadir dengan mesej yang sangat dekat dengan realiti masyarakat.
Lirik “ada duit takda duit, raya tetap raya” menjadi peringatan bahawa keikhlasan adalah tunjang utama sambutan Syawal.
Bagi peminat balada yang mahukan sentuhan lebih syahdu, Rocketfuel turut menampilkan dua permata vokal, Dayang Nurfaizah dan Nadeera.
Dayang bakal menyentuh hati pendengar menerusi lagu Senyum Gugur Di Hujung Doa, manakala Nadeera tampil dengan Restu Raya. Kedua-dua lagu ini dijadualkan menemui peminat pada 6 Mac nanti.
Bagi peminat yang ingin merasai kehangatan Syawal lebih awal, koleksi lagu raya ini sudah boleh distrim di semua platform digital utama.




