Ikuti Kami:

Rocketfuel Entertainment ‘Bolot’ Carta Raya, Rekod 13 Juta Penstriman

Rocketfuel Entertainment ‘Bolot’ Carta Raya, Rekod 13 Juta Penstriman

Label hiburan terkenal tanah air, Rocketfuel Entertainment, membuktikan pengaruhnya apabila berjaya ‘membolot’ carta muzik musim perayaan yang mencatatkan lebih 13 juta penstriman digital secara keseluruhan.

Pencapaian luar biasa itu merangkumi tujuh lagu Raya terbitan label berkenaan yang merentasi pelbagai genre, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat itu sebagai antara peneraju kandungan hiburan paling relevan di Malaysia ketika ini.

Antara naskhah yang menjadi kegemaran pendengar sepanjang Syawal tahun ini termasuklah Rindu Raya (ALPHA), Kampung Kita (Wani Kayrie), Raya Macam Raya (Hael Husaini x ALPHA), serta lagu berjiwa besar daripada Dayang Nurfaizah menerusi Senyum Gugur Di Penghujung Doa.

Naib Presiden Rocketfuel Entertainment, Prem Rajahram Anand, menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil daripada strategi penghasilan kandungan yang dekat dengan citarasa rakyat.

“Kami berbangga melihat penerimaan luar biasa ini. ‘Macam Macam Raya’ mencerminkan kekuatan jenama Rocketfuel dalam menghasilkan karya yang bukan sahaja berkualiti, malah memberi impak besar kepada ekosistem muzik tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Rocketfuel turut melakar kejayaan di peringkat antarabangsa apabila duo vokal popular dari Korea Selatan, HoonDoo, dipilih menyanyikan lagu Jejak Yang Tertinggal.

Lagu berkenaan merupakan runut bunyi (OST) bagi drama bersiri Dendam Seorang Mentua yang bakal ditayangkan di Astro Prima bermula 4 Mei depan.

Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee, berkata tahun ini merupakan tahun paling signifikan buat label tersebut dalam memperluaskan portfolio artis.

“Kami bukan sahaja melancarkan karya baharu, tetapi juga memperkukuh kehadiran artis naungan dalam dunia lakonan dan kandungan digital seperti filem Tarung dan siri PL I Love You,” katanya.

Selain kejayaan lagu Raya, tumpuan kini terarah kepada penyanyi Wani Kayrie yang sedang giat membuat persiapan menuju ke pentas Semi Final Muzik-Muzik ke-40 (SFMM40).

Lagu viralnya, Cak Cak Cekuk, bukan sahaja menjadi siulan di media sosial, malah telah meraih lebih 12 juta tontonan di YouTube dan 2.9 juta penstriman di Spotify.

“SFMM40 adalah pentas yang sangat besar buat saya. Saya sedang melakukan persiapan rapi dari segi vokal, persembahan dan emosi untuk memberikan yang terbaik buat peminat,” ujar Wani.

Kejayaan kempen tahun ini turut mendapat sokongan padu daripada jenama-jenama besar seperti Vida, KFC, Shell, dan U Mobile, yang memperlihatkan kepercayaan pihak industri terhadap impak yang dibawakan oleh Rocketfuel Entertainment.