Ikuti Kami:

Rockestra Lagenda 90-an: Azan, Aan & Wom Kongsi Persiapan dan Harapan

Rockestra Lagenda 90-an: Azan, Aan & Wom Kongsi Persiapan dan Harapan

Menjelang berlangsungnya Konsert Jelajah Nostalgia Rockestra Lagenda 90-an pada 27 September ini di RCDBig Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, tiga ikon rock tanah air iaitu Azan Scan, Aan Ways dan Wom UG14 tampil berkongsi persiapan serta harapan mereka bagi menjayakan persembahan eksklusif tersebut.

Konsert yang menampilkan gabungan unik elemen rock dan orkestra ini bakal mengangkat semula lagu-lagu ikonik era 90-an dengan susunan muzik baharu, memberi dimensi berbeza kepada karya yang pernah mengangkat nama mereka di persada hiburan.

Bagi Azan Scan, yang terkenal dengan lagu “Kau Dipaksa Aku Terpaksa” dan “Di Sana Mawar Di Sini Penawar”, persiapan dilakukan secara individu namun tetap diselangi dengan aktiviti promosi.

“Saya banyak berlatih di rumah, sambil ada show lain pun saya gunakan peluang untuk practice dan promosi konsert ini. Lagu-lagu Scan bila diiringi orkestra akan beri rasa yang lain. Arrangement pun kita beri nafas baharu” katanya.

Selain itu, Azan Scan turut bertekad memanfaatkan kesempatan untuk berkongsi pentas bersama rakan seperjuangan sebelum peluang itu berlalu.

“Saya nak rebut peluang ini untuk berkongsi pentas dengan abang-abang saya sebelum peluang sebegini hilang. Harapan saya, semoga penonton dapat merasai emosi dan keindahan susunan baharu lagu-lagu ini, dan mereka akan pulang dengan kenangan manis,” katanya.

Aan Ways yang popular dengan lagu “Warkah Buat Kekasih” pula menganggap peluang pertama menyanyi dengan iringan orkestra sebagai satu kenangan besar yang ingin disimpan sepanjang hayat.

“Selama ini saya hanya menyanyi dengan band. Ini kali pertama dengan orkestra, dan saya anggap ia peluang terbaik kerana kita tak tahu mungkin selepas ini tiada lagi tawaran seperti ini,”

“Harapan saya, persembahan ini dapat menyatukan semula peminat lama dan generasi baharu untuk menghargai muzik era 90-an,” ujarnya.

Sementara itu, Wom UG14 yang bakal membawakan lagu “Bunga Larangan” menekankan usaha promosi dilakukan secara maksimum bagi memastikan sambutan penonton memberangsangkan.

“Persembahan dengan orkestra ini sangat eksklusif. Selama ini main dengan band atau minus one sahaja, bunyinya terhad. Dengan orkestra, sentuhannya lain, penghayatannya pun berbeza,”

“Saya harap konsert ini menjadi momen terbaik dalam kerjaya saya, dan peminat dapat merasai perbezaan yang kami bawa kali ini,” katanya.

Selain persiapan intensif, ketiga-tiga artis ini turut aktif mempromosikan konsert melalui media sosial dan pertemuan bersama peminat.

“Kami banyak buat promosi secara live di media sosial dan turun padang berjumpa peminat. Setakat ini, sambutan tiket sangat positif,” ujar Wom UG14.

“Ramai kawan-kawan lama, termasuk rakan sekolah, sudah tanya tentang tiket. Itu tanda sambutan yang menggalakkan,” tambah Aan Ways.

Selain tiga penyanyi utama ini, konsert berkenaan turut menghimpunkan tujuh lagi vokalis terkenal seperti Blank (Gamma), Burn (Meditasi), Renggo (Arrow), Isa (Gravity), Shafie (Rio), Afee (Utopia) dan Aju (Success), yang akan diiringi oleh Orkestra Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tiket sudah mula dijual pada harga antara RM188 hingga RM1,888, manakala tiket tontonan langsung atas talian berharga RM20. Pembelian boleh dibuat melalui https://www.ticket2u.com.my/event/45027/konsert-jelajah-nostalgia-rokestra-90-s

Komen
Loading...