Ikuti Kami:

Rock Warrior Music Festival Bakal Menggegarkan Peminat Rock Tempatan

Rock Warrior Music Festival Bakal Menggegarkan Peminat Rock Tempatan

Rumah Produksi Merah, yang dimiliki oleh lagenda rock Malaysia, Dato’ Awie, dengan bangganya mengumumkan penganjuran Rock Warrior Music Festival, satu acara yang bakal menghimpunkan band-band rock tanah air untuk sebuah persembahan epik dan penuh nostalgia.

Festival ini dijadualkan berlangsung pada 23 dan 24 November 2024 di KL Base, Sungai Besi, dan menjanjikan pengalaman muzik luar biasa bagi semua peminat rock.

Acara ini akan menampilkan artis-artis rock terkenal seperti Wings, Search (Kid & Din), dan XPDC yang bakal menghidupkan pentas pada 23 November dengan lagu-lagu hits dari zaman kegemilangan mereka hingga kini.

Menurut Dato’ Awie, penganjuran festival ini adalah satu inisiatif oleh Rumah Produksi Merah untuk membangkitkan semula semangat era kegemilangan rock dan menyatukan peminat rock dari pelbagai generasi.

“Rock Warrior Music Festival merupakan platform terbaik untuk band-band baharu menonjolkan bakat mereka serta memperkenalkan karya-karya original kepada peminat,” ujar Dato’ Awie.

Beliau menambah, festival ini bukan sahaja menyatukan peminat muzik rock lama yang sudah lama mencintai genre ini, tetapi juga memberi peluang kepada peminat baharu untuk mengenali dan menikmati muzik rock tempatan.

Selain menampilkan band terkenal, Rock Warrior Music Festival turut memberi peluang kepada kumpulan-kumpulan rock baharu untuk mempamerkan bakat mereka di pentas yang besar, di samping memperkenalkan lagu-lagu original kepada khalayak ramai. Festival ini komited dalam mempromosikan kepelbagaian dan kreativiti dalam industri muzik rock Malaysia.

Selain persembahan muzik bertenaga, festival ini juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti gerai makanan dan minuman, aksesori rock, serta barangan eksklusif untuk melengkapkan pengalaman festival.

Tiket untuk festival ini telah mula dijual sejak 7 September lalu, dan boleh didapati secara dalam talian melalui laman web rasmi di https://rockwarrior.ubertickets.asia. Harga tiket adalah RM250 (Gold, tempat duduk), RM200 (Silver, berdiri), dan RM150 (Bronze, berdiri) untuk dua hari acara.

Band-band yang berminat untuk menyertai festival ini boleh menghantar demo atau video persembahan ke Rumah Produksi Merah Sdn Bhd di Subang Jaya, Selangor, atau melalui emel di [email protected].

Rock Warrior Music Festival dijangka menjadi mercu tanda penting dalam sejarah muzik rock tanah air, menghidupkan semula semangat rock Malaysia dan memberi inspirasi kepada generasi peminat muzik tempatan yang akan datang.

Komen
Loading...