Rock Warrior Music Festival 2024: Kebangkitan Muzik Rock Tempatan
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu
Meskipun zaman dan teknologi terus berubah, muzik rock kekal utuh di hati peminat. Ikon seperti Din dan Kid Search, serta kumpulan-kumpulan terkenal seperti Wings, XPDC, dan May, terus mengukuhkan legasi mereka, memberikan inspirasi kepada generasi baru pemuzik tanah air.
Untuk mengembalikan semangat era kegemilangan rock, Dato’ Awie melalui Rumah Produksi Merah memperkenalkan Rock Warrior Music Festival (RWMF). Festival ini akan berlangsung pada 23 dan 24 November 2024 di KL Base, Sungai Besi, menghimpunkan artis-artis rock tempatan yang ikonik.
Peminat bakal dihidangkan dengan persembahan penuh bertenaga daripada Wings, Search (Kid & Din), XPDC Militia, May, Spider, Pop Shuvit, A.C.A.B., dan Ella Rockqueen.
Selain itu, festival ini turut memperkenalkan platform “Pentas Rock Hero” yang memberi peluang kepada 24 band baru untuk memperkenalkan bakat mereka.
Setiap hari, 12 band akan beraksi dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam. Ini memberi peluang kepada bakat baru untuk menyerlah dan membawa muzik mereka kepada peminat rock tempatan.
Menurut Dato’ Awie,
“Festival ini bukan sekadar acara muzik, tetapi satu platform untuk menyatukan pemuzik lama dan baru. Kami mahu jadikan ini acara tahunan bagi menghimpunkan bakat-bakat terbaik dalam industri rock.
“Selain itu, kami juga mahu mencorakkan masa depan muzik rock dengan memberi peluang kepada generasi baru untuk muncul sebagai pengganti legenda-legenda rock tanah air.”
Barisan penuh Rock Warrior Music Festival 2024:
– 23 November 2024: Wings, Search (Kid & Din), XPDC Militia
– 24 November 2024: May, Spider, Pop Shuvit, A.C.A.B., Ella Rockqueen
Tiket untuk Rock Warrior Music Festival sudah mula dijual sejak 7 September 2024 dan boleh dibeli secara dalam talian melalui laman web https://rockwarrior.ubertickets.asia/. Terdapat tiga kategori tiket yang ditawarkan:
– Gold (tempat duduk): RM250
– Silver (berdiri): RM200
– Bronze (berdiri): RM150
Menariknya, pemegang tiket Bronze dibenarkan membawa kerusi “healing” atau kerusi camping untuk menonton persembahan dengan lebih selesa. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada festival rock terbesar tahun ini di KL Base, Sungai Besi.