RM281,000 Masih Belum Dijelaskan, Datuk Haris Tuntut Rafidah Hormati Keputusan Mahkamah
- oleh Mohd Indera
- 26 Sep 2025 5:15 pm

Usahawan Datuk Haris Embong (tengah) menunjukkan salinan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memihak kepadanya dalam kes saman fitnah terhadap pelakon Rafidah Ibrahim, pada sidang media di ibu negara, hari ini.
Usahawan Datuk Haris Embong menuntut agar pelakon Rafidah Ibrahim segera menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan beliau membayar ganti rugi berjumlah RM281,000 kepada Haris dan syarikatnya, Arisprop Holdings Sdn Bhd.
Menurut Haris, sehingga kini sudah lebih 422 hari berlalu sejak keputusan penghakiman pada 31 Julai 2024 dibuat, namun tiada sebarang pembayaran diterima.
“Keputusan mahkamah jelas memihak kepada saya dan syarikat, tetapi hingga hari ini, tiada satu sen pun dibayar. Kami hanya menuntut hak yang sewajarnya,” katanya pada sidang media di ibu negara.
Dari Kiri: Dato’ Mohammad Hifdzi Hamzah, Peguam Korporat Kumpulan Syarikat Arisprop; En. Ismail Taib, Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Syarikat Arisprop ; Datuk Haris Embong (tengah) dan En. Alvin Dev Singh, Peguam dari firma guaman Tetuan Izral Partnership.
Kes saman fitnah itu berpunca daripada dua hantaran media sosial Rafidah pada September dan Oktober 2021, yang didakwa memberi gambaran bahawa Haris terbabit dengan salah laku seksual serta syarikatnya menjalankan perniagaan tidak beretika.
Dakwaan itu timbul selepas penamatan kontrak pekerjaan Rafidah sebagai Ketua Pemasaran Arisprop Holdings pada 26 Ogos 2021.
Mahkamah Tinggi kemudiannya memerintahkan Rafidah membayar RM100,000 kepada Haris secara peribadi, RM150,000 kepada Arisprop Holdings, selain faedah lima peratus setahun, kos RM30,000 serta fi alokator RM1,200.
Firma guaman Tetuan Izral Partnership yang mewakili plaintif telah mengeluarkan dua notis tuntutan, pertama pada 20 Ogos 2024 dan kedua pada 19 September 2025. Notis terakhir disahkan diterima pada 22 September lalu, namun sehingga kini tiada sebarang pembayaran dibuat.
“Ini bukan soal besar atau kecil jumlahnya, tetapi soal menghormati keputusan mahkamah. Undang-undang wujud untuk ditegakkan, bukan dipermainkan,” tegas Haris.
Peguam, Alvin Dev Singh.
Menjawab pertanyaan media mengenai langkah seterusnya, peguamnya Alvin Dev Singh menjelaskan pihak plaintif mempunyai dua pilihan.
“Antara pilihan ialah mendapatkan senarai aset Puan Rafidah untuk tujuan sitaan, atau memfailkan tindakan kebankrapan. Kedua-duanya sedang dipertimbangkan,” katanya.
Haris turut mendedahkan beliau sebenarnya telah cuba menyelesaikan isu itu secara baik sebelum tindakan mahkamah diambil.
“Saya pernah hubungi beliau secara telefon dan WhatsApp, meminta supaya kenyataan fitnah itu dipadam. Jawapan yang saya terima hanyalah ‘sila berurusan dengan peguam saya’.
“Dari awal saya terbuka untuk berbincang, malah semasa perbicaraan pun wakilnya ada cadangkan penyelesaian luar mahkamah, tetapi selepas itu tiada tindakan lanjut,” jelasnya.
Tambahnya, beliau tidak menuntut jumlah besar seperti kebiasaan kes saman fitnah, sebaliknya hanya mahu membersihkan nama dan menjaga reputasi perniagaannya.
“Kalau betul ikhlas ingin menyelesaikan kes ini, bayaran boleh dibincang (secara ansuran), tetapi asasnya jumlah RM281,000 itu perlu dibayar kerana ia adalah keputusan mahkamah,” katanya.
Terdahulu, pada 2021, Rafidah Ibrahim, 39 telah dilantik sebagai Ketua Pemasaran Arisprop Holdings secara kontrak untuk menggerakkan promosi produk makanan jenama Aris Burger, namun kerjasama itu hanya bertahan kira-kira dua bulan sebelum ditamatkan.
Kontroversi fitnah yang tercetus selepas itu membawa kepada kes saman yang berlarutan hingga ke hari ini.