Rizman Ruzaini Menembusi Pasaran Antarabangsa, Butik Pertama Bakal Dibuka di Dubai
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu

Selepas lebih dua dekad membina nama sebagai jenama fesyen tersohor tanah air, Rizman Ruzaini kini bersedia melakar sejarah baharu dengan pembukaan butik pertama mereka di Dubai, sekali gus secara rasmi menembusi pasaran antarabangsa.
Menurut pengasas bersama, Rizman, keputusan ini dibuat berdasarkan sambutan luar biasa daripada pelanggan Timur Tengah terhadap rekaan mereka. Pembukaan butik di Dubai dijangka akan memenuhi permintaan yang semakin meningkat dari rantau tersebut.
“Sudah sekian lama kami menerima sokongan daripada pelanggan di Timur Tengah. Jadi, pembukaan butik ini adalah langkah semula jadi dalam usaha memenuhi permintaan mereka, di samping memperkukuh jenama Rizman Ruzaini di peringkat global,” katanya.
Rizman menjelaskan bahawa setiap peluang untuk mempersembahkan rekaan di pentas antarabangsa dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkenalkan budaya Malaysia melalui fesyen. Ini merupakan antara misi utama jenama mereka sejak mula bertapak hampir 20 tahun lalu.
“Bagi kami, Rizman Ruzaini bukan sekadar jenama fesyen. Ia adalah platform untuk memperkenalkan Malaysia kepada dunia. Sama seperti kami pernah menggunakan selebriti tempatan untuk memperagakan koleksi kami, kini kami berhasrat melihat rekaan kami digayakan oleh selebriti antarabangsa,” jelasnya.
Sebagai persiapan untuk perkembangan antarabangsa ini, Rizman Ruzaini turut merancang untuk melakukan penstrukturan semula model perniagaan mereka agar kekal relevan dan kompetitif di pasaran global yang semakin mencabar.
“Selepas hampir dua dekad, kami rasakan ini adalah masa yang tepat untuk Rizman Ruzaini melakukan ‘revamp’. Kami percaya perubahan ini akan membuka lebih banyak peluang untuk pertumbuhan dan membawa jenama kami ke tahap lebih tinggi,” tambah Rizman.
Dengan langkah strategik ini, Rizman Ruzaini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan mereka di Malaysia, tetapi juga menempatkan diri sebagai duta fesyen negara di mata dunia.