Ikuti Kami:

Rizman Ruzaini Lancar Dua Koleksi Raya, Tawar Busana Raya Mampu Milik Serendah RM500

Rizman Ruzaini Lancar Dua Koleksi Raya, Tawar Busana Raya Mampu Milik Serendah RM500

Sempena sambutan ulang tahun ke-20 dalam industri fesyen tanah air, jenama tersohor Rizman Ruzaini memulakan tirai tahun 2026 dengan pelancaran dua koleksi Aidilfitri yang menggabungkan elemen eksklusiviti couture dan sedia pakai (RTW).

Menerusi koleksi yang dipersembahkan di Maison Rizman Ruzaini, Shangri-La Kuala Lumpur, hari ini, jenama itu membuktikan komitment mereka untuk kekal relevan dengan menawarkan busana sedia pakai, Rebirth Vol.3: Raya pada harga mampu milik bermula serendah RM500.

Pengasas bersama Rizman Nordin berkata, pelancaran dua koleksi serentak ini adalah simbolik kepada kematangan jenama itu yang kini meraikan dua dekad keberadaan mereka dalam memperkasakan identiti Nusantara.

“Bagi peminat tegar sentuhan mewah, koleksi couture The Hikayat of Ratna tampil dengan 20 rekaan yang diinspirasikan daripada naskhah sastera klasik ciptaan Ruzaini Jamil sendiri.”

“Koleksi ini menterjemahkan pertembungan budaya Melayu dan pengaruh Arab melalui potongan baju kurung, kebaya, dan baju sikap yang digabungkan dengan siluet jubah serta abaya” katanya

Penggunaan material premium seperti songket, sifon, dan renda (lace) dengan perincian manik tambour menjadikan setiap helaian sebuah karya seni yang unik.

Meskipun dijual pada harga antara RM4,800 hingga RM22,000, koleksi eksklusif ini dilaporkan telah habis terjual melalui tempahan awal oleh pelanggan setia sejak Disember lalu.

Mengulas lanjut, Pengarah kreatifnya Ruzaini Jamil berkata, menyedari permintaan tinggi terhadap busana yang lebih kasual namun tetap elegan, label RR by Rizman Ruzaini mempertaruhkan 24 rekaan dalam siri Rebirth Vol.3: Raya.

“Kami mahu meraikan Raya sebagai tradisi kongsi di rantau Nusantara meliputi Malaysia, Indonesia, Singapura, dan Brunei. Koleksi ini direka untuk fleksibiliti, ia elegan untuk pagi Syawal, namun praktikal untuk digayakan ke majlis lain,”

“Koleksi ini mengekalkan potongan klasik seperti Kurung Kedah, Kurung Pahang, dan Kebaya Besar dengan sentuhan moden.” katanya.

Dijual pada harga antara RM500 hingga RM850, koleksi ini akan mula dipasarkan pada bulan Ramadan nanti di butik Suria KLCC, Shangri-La Kuala Lumpur, serta secara dalam talian.

Tahun 2026 turut menyaksikan fasa baharu buat Rizman Ruzaini pasca jalinan strategik bersama kumpulan peruncitan Indonesia, Modinity Group.

Kerjasama ini dijangka bakal membawa jenama Malaysia ini ke pasaran global yang lebih luas, selaras dengan visi mereka untuk memartabatkan kraf Asia Tenggara.

Sejak ditubuhkan pada 2005, Rizman Ruzaini kini diperkukuh oleh pasukan seramai 30 orang artisan dan pereka yang terus menterjemah memori serta makna ke dalam setiap helaian fabrik.

Komen
Loading...