Rizky Febian, Fabio Asher & Anggi Marito Tawar Persembahan Eksklusif Menerusi Malam 3 Suara
- oleh Mohd Indera
- 20 Sep 2025 4:44 pm

Peminat muzik Indonesia di Malaysia bakal menikmati sebuah persembahan eksklusif apabila tiga penyanyi popular seberang, Rizky Febian, Fabio Asher dan Anggi Marito, digabungkan dalam konsert istimewa bertajuk Malam 3 Suara.
Konsert yang dianjurkan oleh Strategy X Entertainment Sdn. Bhd. itu akan berlangsung pada 14 Disember 2025 di Idea Live Arena, Kuala Lumpur, bermula jam 8 malam. Ia menjanjikan pengalaman unik yang tidak boleh disaksikan di tempat lain.
Menurut penganjur, Malam 3 Suara bukan sekadar konsert biasa, tetapi persembahan yang dirangka khas dengan gabungan suara dan personaliti tiga artis berbeza untuk membentuk naratif muzik penuh emosi.
“Anggi Marito dikenali dengan kelembutan vokalnya, Fabio Asher menawan hati dengan balada syahdu, manakala Rizky Febian tampil dengan pesona serta gaya persembahan penuh warna. Gabungan ini hanya dapat disaksikan secara eksklusif pada malam konsert ini,” jelas wakil penganjur.
Konsert berdurasi lebih dua jam ini bakal menampilkan lebih 20 buah lagu popular, termasuk persembahan solo, duet istimewa dan kolaborasi khas yang belum pernah dipersembahkan di pentas lain.
Penonton juga berpeluang menyaksikan momen-momen unik apabila ketiga-tiga artis tampil bersama dalam persembahan kolaboratif yang dirahsiakan sebagai kejutan untuk malam konsert.
Rizky Febian turut melahirkan rasa teruja untuk kembali menghiburkan peminat Malaysia.
“Saya amat gembira dapat bertemu kembali dengan peminat di Malaysia. Malam ini istimewa kerana ia peluang untuk saya berkongsi muzik lebih dekat serta mencipta kenangan indah bersama anda semua,” katanya.
Tiket Malam 3 Suara dijual pada harga bermula RM188 hingga RM448 untuk kategori Ground Floor, manakala kategori Upper Floor berharga antara RM268 hingga RM338.
Orang ramai boleh mendapatkan tiket melalui laman web rasmi ticket2u.com.