Rissa Skin Lancar Night Silk Cream, Amira Othman Teruja Jadi Wajah Rissa Skin
- oleh MDaily Editor
- 30 Apr 2026 9:43 pm
Jenama kecantikan tempatan, Rissa Skin, terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran kosmetik dengan pelancaran produk terbaharunya, Rissa Night Silk Cream.
Produk terbaharu itu dirumus khas sebagai solusi penjagaan kulit pelbagai fungsi yang bukan sahaja mencerahkan dan melembapkan kulit secara mendalam, malah membantu memudarkan kesan regangan (stretch marks) serta memperbaiki tekstur kulit secara menyeluruh.
Amira Othman, yang telah menggalas tanggungjawab sebagai duta sejak awal 2025, menyuarakan rasa terujanya terhadap kerjasama yang kini memasuki tahun kedua itu.
Menurutnya, keberkesanan produk dan nilai yang dibawa oleh jenama berkenaan membuatkan beliau yakin untuk terus mewakili Rissa Skin.

“Bagi saya, penjagaan kulit bukan sekadar kecantikan luaran semata-mata, tetapi ia adalah tentang membina keyakinan diri. Saya sangat bersyukur dapat bersama dalam perjalanan Rissa Skin kerana kualiti produknya sangat dekat di hati saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran di Hotel Concorde, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengasas Rissa Skin, Maam Nurul berkata, pengenalan Night Silk Cream adalah jawapan kepada permintaan pelanggan yang mahukan produk penjagaan kulit badan yang lembut namun efektif untuk lelaki mahupun wanita.

“Kami percaya dalam membina jenama, kepercayaan pelanggan adalah asas utama. Rissa Skin bukan sekadar menjual produk, tetapi ia adalah satu perjalanan bersama komuniti yang kami hargai untuk tampil lebih yakin,” jelas beliau.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh elegan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan media, pempengaruh digital, serta persembahan istimewa daripada artis tersohor, Ameng Spring dan Bella Astillah.
Sejak kolaborasi bersama Amira Othman bermula, Rissa Skin telah mencatatkan pelbagai kejayaan menerusi siri kempen digital dan program komuniti.
Dengan prestasi jualan yang memberangsangkan, jenama ini kini meletakkan sasaran untuk menembusi pasaran serantau dalam masa terdekat.
