RIM: Muzik Janaan AI Tanpa Kawalan Ancam Masa Depan Industri Muzik Tempatan
- oleh Mohd Indera
- 6 hari lalu

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) memberi amaran bahawa penghasilan muzik menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara tidak terkawal boleh membawa kesan buruk terhadap kelangsungan industri muzik tempatan.
Pengerusinya, Rosmin Hashim berkata, walaupun AI membuka peluang baharu dalam penghasilan muzik, ketiadaan perundangan dan kawal selia jelas menjadikan teknologi ini satu ancaman kepada periuk nasi pencipta lagu, penyanyi, pemuzik serta syarikat rakaman tempatan.
“Penggunaan AI secara meluas tanpa sebarang garis panduan sah berisiko menjejaskan pendapatan penggiat seni, terutamanya apabila karya mereka digunakan sebagai data latihan tanpa kebenaran. Situasi ini bukan sekadar melibatkan isu moral, tetapi turut melanggar hak cipta dan boleh memberi kesan besar kepada ekonomi kreatif negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
RIM turut membangkitkan isu penyalahgunaan suara artis melalui vokal tiruan, seperti yang berlaku dalam kes lagu Aku Cinta Padamu milik Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang dihasilkan semula menggunakan suara mirip Dayang Nurfaizah menerusi teknologi AI.
Kes seperti ini, menurut Rosmin, jelas memperlihatkan risiko eksploitasi identiti dan karya pencipta asal.
Dalam pada itu, RIM merujuk kajian Konfederasi Persatuan Pengarang dan Komposer Antarabangsa (CISAC) yang menganggarkan kerugian sebanyak €10 bilion kepada industri muzik global menjelang 2028 sekiranya penghasilan muzik AI terus berkembang tanpa sebarang kawalan.
“Kita sedang melihat trend di mana ribuan lagu janaan AI dimuat naik ke platform penstriman setiap hari. Di Deezer sahaja, lebih 20,000 lagu AI dimuat naik setiap hari, mewakili hampir 18 peratus daripada keseluruhan kandungan. Jika ini berterusan, karya ciptaan manusia akan semakin tenggelam dan bayaran royalti akan semakin berkurang,” katanya lagi.
Isu serupa turut mencetuskan tindakan undang-undang di luar negara. Pada tahun 2023, syarikat AI Anthropic disaman oleh Universal Music Group dan beberapa syarikat rakaman lain selepas didakwa melatih model AI mereka dengan lirik lagu berhak cipta tanpa izin.
Tahun lalu, dua lagi syarikat, Suno dan Udio, turut berdepan tindakan sama oleh gergasi industri muzik.
Menurut Rosmin, Malaysia perlu segera menggubal rangka kerja undang-undang khusus yang melindungi pencipta serta memastikan pembangunan AI berlaku secara bertanggungjawab.
Beliau mencadangkan agar negara mencontohi pendekatan Kesatuan Eropah yang mewajibkan pembangun AI mendapatkan kebenaran sebelum melombong data berhak cipta.
“Akta ELVIS di Tennessee, Amerika Syarikat misalnya, melindungi artis daripada peniruan suara dan imej menggunakan AI. Malaysia juga perlu mempunyai akta serupa bagi mengekang pencabulan hak cipta dan melindungi identiti artis serta pencipta muzik kita,” tegasnya.
RIM menggesa kerajaan untuk menggubal undang-undang yang menuntut ketelusan daripada syarikat AI, termasuk kewajiban untuk mendedahkan kandungan berhak cipta yang digunakan dalam proses pembangunan teknologi mereka.
“Jika tidak ditangani segera, muzik janaan AI yang tidak terkawal bukan sahaja akan menjejaskan pendapatan penggiat seni tempatan, malah boleh memusnahkan keseluruhan ekosistem muzik negara,” katanya.