Ikuti Kami:

Rika Riana Taruh Harapan Pada ‘Harus Begini Jadinya’

Rika Riana Taruh Harapan Pada ‘Harus Begini Jadinya’

Penyanyi muda berbakat dari Sabah, Rika Riana, meletakkan harapan tinggi terhadap single terbarunya ‘Harus Begini Jadinya’, yang secara rasmi dilancarkan pada 18 April lalu di semua platform digital.

Membawa tema penerimaan dan keikhlasan dalam menghadapi kehilangan, lagu ciptaan sepenuhnya oleh komposer prolifik Ajai ini dianggap sebagai karya yang cukup dekat di hati Rika.

Penyanyi berusia 25 tahun itu percaya bahawa lagu ini mampu membuka lembaran baharu dalam kerjaya seninya.

“Lagu ini sangat peribadi buat saya. Ia menggambarkan situasi di mana kita perlu merelakan sesuatu yang bukan milik kita, walaupun kita berusaha untuk mempertahankannya,” kata Rika, atau nama sebenarnya Erika Rianty Anthony.

Mengulas tentang proses rakaman, Rika mengakui ia bukan sesuatu yang mudah kerana lagu ini menuntut penghayatan emosi yang mendalam.

Namun, dengan bimbingan Ajai, impiannya untuk menghasilkan sebuah karya yang jujur dan menyentuh jiwa akhirnya terlaksana.

“Sejak kecil saya membesar dengan lagu-lagu ciptaan Abang Ajai. Dapat bekerjasama dengannya adalah satu impian yang menjadi kenyataan. Beliau sangat teliti dan banyak membantu saya mendalami seni penyampaian lagu ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rika turut berkongsi cabaran ketika penggambaran muzik video (MV) Harus Begini Jadinya yang terpaksa diubah lokasinya pada saat akhir disebabkan cuaca hujan.

Namun, hasil akhirnya tetap membawa naratif visual yang kuat walaupun berlatar tempat tertutup.

“Walaupun hanya dirakam di bilik dan ruang tamu, setiap babak mencerminkan kekosongan dan proses penerimaan selepas kehilangan. Ia sederhana tetapi sarat dengan makna,” tambah Rika.

Mengakhiri perbualan, Rika menzahirkan harapannya agar Harus Begini Jadinya bukan sahaja mendapat tempat di hati pendengar, malah membawa tuah dalam perjalanan seninya sepanjang tahun 2025.

Single Harus Begini Jadinya diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan diedarkan oleh Indigital Music.

Muzik videonya kini boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Indigital Music.

Komen
Loading...