‘Right Here Waiting’ – Richard Marx Berjaya Menawan Arena of Stars
- oleh MDaily Editor
- 17 Aug 2025 3:02 pm
Lagu ikonik “Right Here Waiting” menjadi kemuncak konsert “Richard Marx Endless 60th Diamond Jubilee Celebration” menutup malam penuh memori di Arena of Stars (AOS), Genting dengan nyanyian penuh emosi yang berjaya menawan hati ribuan peminat.
Artis versatil ini bukan sahaja mempamerkan vokal yang tidak dimamah usia, tetapi turut memainkan gitar dan piano dalam beberapa lagu, memberikan sentuhan peribadi yang membuatkan persembahan terasa lebih intim.
Peminat memenuhi dewan seawal jam 8 malam, menunggu detik legenda pop antarabangsa itu naik ke pentas tepat jam 9.30 malam.
Sorakan memecah kesunyian sebaik Marx melangkah ke atas pentas, memulakan persembahan dengan rangkaian lagu popular seperti “Endless Summer Nights”, “Believe in Me”, dan “Take This Heart”.

Sepanjang lebih 90 minit, Marx juga mengejutkan penonton dengan menyanyikan lagu klasik “Fly Me To The Moon” serta “This I Promise You” lagu yang pernah dipopularkan kumpulan NSYNC yang dicipta oleh beliau sendiri.
Marx turut berkongsi mengenai kerjayanya sebagai komposer, di mana beliau pernah mencipta dan menghasilkan lagu untuk artis-artis ternama dunia.
Antara nama besar yang mendapat sentuhan magis Marx ialah kumpulan NSYNC (This I Promise You), penyanyi balada terkenal Josh Groban (To Where You Are), selain Luther Vandross (Dance With My Father), Keith Urban (Better Life), dan Kenny Rogers (Crazy).

“Saya sangat berbesar hati dapat meraikan malam ini bersama anda semua. Ini kali kelima saya datang ke Malaysia dan setiap kali saya kembali, saya rasa seperti berada di rumah sendiri,” katanya.
Saat intro “Right Here Waiting” berkumandang, seluruh Arena of Stars bergema dengan nyanyian bersama, ada yang menitiskan air mata kerana terbuai emosi.
Lagu yang pernah menjadi fenomena global dengan menduduki carta No.1 Billboard Hot 100 pada 1989 itu menjadi penutup sempurna untuk malam yang penuh kenangan dan cinta terhadap muzik.




