
Dua nama besar dari Indonesia, Juicy Luicy dan Tulus, bakal menggegarkan pentas Mega Star Arena, Kuala Lumpur menerusi penganjuran Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025 yang dijadual berlangsung pada 17 Ogos ini (Ahad).
Festival yang dibawakan oleh Expoindo bersama penganjur tempatan Thrive itu tampil dengan kelainan apabila mengetengahkan konsep gabungan muzik dan inspirasi, menjadikan RIF 2025 bukan sekadar sebuah konsert biasa.
Mengangkat tema muzik sebagai medium emosi dan inspirasi, RIF bakal menjadi ruang buat peminat menyelami kisah di sebalik lagu-lagu popular artis terlibat.
Menurut wakil penganjur, Bram Tulong dari Expoindo, pemilihan Juicy Luicy sebagai artis utama bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan kumpulan pop alternatif dari Indonesia itu memiliki pengaruh kuat dalam kalangan generasi muda di Malaysia menerusi lagu seperti ‘Lantas’, ‘Lampu Kuning’ dan ‘Sialan’.
“Lagu mereka dekat dengan jiwa pendengar, sarat dengan mesej emosi dan pengalaman hidup. Ini selari dengan misi RIF untuk menjadi festival yang bukan hanya menghibur, malah memberi inspirasi,” jelasnya.
Selain Juicy Luicy yang bakal membuat persembahan bertenaga pada sesi malam bermula jam 7.30 malam, nama besar industri muzik Indonesia, Tulus turut diumumkan sebagai artis fasa kedua dan akan mengisi sesi petang bermula jam 1.30 tengah hari.
Penganjur menjelaskan, RIF 2025 sengaja dipecahkan kepada dua sesi bagi memberikan pengalaman berbeza dan memaksimumkan kepuasan penonton.
“Kami mahu RIF menjadi platform yang memperkukuhkan hubungan industri muzik Malaysia dan Indonesia, selain membawa mesej positif kepada masyarakat,” kata Johnathon Wong dari BBO Events.
Tambahnya, RIF turut dirancang untuk diperluaskan ke bandar-bandar utama lain di Malaysia dalam usaha membina komuniti lebih kukuh melalui muzik.
Harga tiket bagi festival ini ditawarkan dari serendah RM268 hingga RM1,028 bergantung kepada pakej yang dipilih. Pembeli tiket Juicy Luicy turut berpeluang menaik taraf tiket mereka menerusi aplikasi BBO Events untuk menikmati pakej istimewa.
Segala maklumat lanjut boleh diperoleh di laman rasmi www.ri-fest.com/kualalumpur atau melalui aplikasi BBO Events. Untuk perkembangan terkini, ikuti @rifest.my di Instagram dan TikTok.