Ikuti Kami:

Rico Rinaldi Perkenalkan Koleksi Summeraya RTW 2025: Saiz Hingga 3XL, Mampu Milik & Penuh Gaya

Rico Rinaldi Perkenalkan Koleksi Summeraya RTW 2025: Saiz Hingga 3XL, Mampu Milik & Penuh Gaya

Koleksi Summeraya RTW 2025 oleh Rico Rinaldi sekali lagi membuktikan bahawa fesyen eksklusif tidak perlu mahal.

Dengan menampilkan saiz hingga 3XL, reka bentuk yang elegan, dan harga yang kekal berpatutan, koleksi ini mendapat sambutan hangat di acara pelancarannya di Menara Ken TTDI semalam.

Inisiatif ini menjadikan koleksi Rico lebih inklusif, membolehkan lebih ramai individu tampil menawan di pagi Raya.

Malah, atas permintaan yang tinggi, Rico turut mengumumkan rancangan untuk memperluaskan saiz koleksinya sehingga 5XL pada tahun hadapan.

“Saya mahu semua orang dapat menikmati fesyen tanpa halangan saiz atau harga. Inilah sebabnya saya mengekalkan harga yang berpatutan dan memperkenalkan saiz yang lebih pelbagai dalam koleksi ini,” kata Rico Rinaldi.

Dalam situasi ekonomi yang mencabar, banyak jenama fesyen terpaksa menaikkan harga.

Namun, Rico Rinaldi terus mengekalkan prinsipnya dengan menawarkan koleksi ini pada harga antara RM259 hingga RM349, tanpa mengorbankan kualiti.

Koleksi ini juga direka untuk menjadi ringkas, selesa, mudah dicuci, dan sesuai dipakai semasa perjalanan pulang ke kampung.

“Koleksi ini juga menekankan konsep sopan dan longgar, yang sesuai digayakan oleh semua peringkat usia, dengan setiap baju kurung dilengkapi selendang untuk menambah nilai dan kesempurnaan,” kata Rico.

Dengan bahan berkualiti tinggi dan rekaan eksklusif, koleksi ini membuktikan bahawa fesyen premium masih boleh dimiliki oleh ramai.

Menampilkan rekaan baju kurung moden, kebaya, dan kebarung, Summeraya RTW 2025 diinspirasikan oleh motif bunga yang segar dan feminin.

“Saya suka bermain dengan cetakan, terutamanya bunga-bunga kecil yang sangat sesuai dengan tema Summeraya,” ujar Rico.

Hampir semua pakaian dalam koleksi ini juga mesra penyusuan, menjadikannya pilihan ideal bagi ibu-ibu yang ingin tampil bergaya sepanjang musim perayaan.

Selain pakaian, Rico turut memperkenalkan koleksi beg tangan Raya dengan enam rekaan eksklusif yang direka khas untuk dipadankan dengan Summeraya RTW 2025.

“Dengan tas tangan yang turut diperkenalkan dalam koleksi ini, anda akan menemui pelbagai pilihan warna pastel hingga warna-warna bold,” tambahnya.

Salah satu beg istimewa dalam koleksi ini adalah hasil kolaborasi bersama Richiamo, diinspirasikan oleh minuman tempatan seperti teh tarik, cappuccino, coklat, dan kopi putih.

Tidak hanya terhenti pada fesyen, Rico juga bekerjasama dengan Objet untuk menghasilkan set pinggan mangkuk lengkap, termasuk pinggan, mangkuk, alas meja, dan aksesori meja lain.

Dengan tema warna dan motif bunga yang senada dengan koleksi pakaian, kolaborasi ini membolehkan peminat menggabungkan fesyen dan dekorasi rumah dalam satu konsep yang serasi.

Acara pelancaran yang diacarakan oleh Dayah Bakar itu turut disokong oleh Buttonscarves Beauty sebagai rakan solekan rasmi.

Ramai selebriti, pempengaruh fesyen, dan media hadir untuk menyaksikan koleksi ini diperagakan di pentas peragaan.

Dengan gabungan gaya moden dan tradisional, inklusiviti, serta harga yang mampu milik, Summeraya RTW 2025 sekali lagi mengukuhkan kedudukan Rico Rinaldi sebagai antara pereka fesyen paling berpengaruh di Malaysia.

Koleksi ini, bersama beg tangan eksklusif dan set pinggan mangkuk Objet, boleh didapati hingga Mac 2025, memberikan peminat fesyen masa yang cukup untuk mendapatkan busana sempurna menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Koleksi Summeraya RTW 2025 kini boleh didapati di butik rasmi Rico Rinaldi serta platform dalam talian untuk mereka yang ingin tampil anggun dan elegan pada musim perayaan ini.

Foto Oleh : Hariz Amsyar/@hrzamsyr

Komen
Loading...