RichWorks Terima Pengiktirafan MBR, Bimbing 4,302 Usahawan Jana Jualan RM15.1 Bilion
- oleh MDaily Editor
- 29 Apr 2026 12:35 pm
Richworks Group Holdings Berhad (RichWorks) hari ini diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) sebagai penganjur bagi “Largest MSMEs Entrepreneurship Mentoring Program” di negara ini.
Pengiktirafan tersebut diberikan susulan kejayaan syarikat bimbingan keusahawanan itu melatih seramai 4,302 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam tempoh lima tahun bermula 2021 hingga Februari lalu.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif RichWorks, Datuk Wira Dr Azizan Osman berkata, rekod tersebut mencerminkan impak nyata pementoran berstruktur dalam membantu usahawan tempatan menjana jualan kumulatif mencecah RM15.1 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Beliau menjelaskan bahawa dalam mendepani cabaran ekonomi semasa, ketidakjelasan terhadap potensi diri dan strategi pasaran merupakan faktor utama kegagalan usahawan, bukannya krisis ekonomi semata-mata.
”Dalam setiap fasa krisis, peluang tetap wujud namun hanya usahawan yang memahami potensi sebenar diri dan perniagaan mereka mampu mengenal pasti serta memanfaatkan peluang berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil MBR di ibu pejabat RichWorks di sini, hari ini.

Sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh Pegawai MBR, Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah kepada Dr Azizan.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Azizan turut menzahirkan kebimbangan komuniti usahawan terhadap kenaikan kos perniagaan di platform digital dan memohon perhatian kerajaan bagi mengawal selia caj platform e-dagang yang kini mencecah antara 20 hingga 25 peratus.
”Saya merayu kepada kementerian berkaitan dan kepimpinan negara agar meneliti isu kos platform ini serta kemasukan peniaga luar negara secara langsung yang boleh memberi kesan jangka panjang kepada ekosistem PMKS tempatan,” tambah beliau.
Sebagai langkah menyokong pertumbuhan ekonomi usahawan, RichWorks turut melancarkan program ‘Potensi 2026: Kenali & Kuasai Potensi Diri, Wang & Bisnes’ yang ditawarkan secara percuma kepada 10,000 peserta bermula Mei ini.
Program tersebut bertujuan membantu usahawan membina semula strategi perniagaan yang lebih kompetitif dalam mendepani tekanan inflasi dan kos sara hidup yang dijangka berterusan bagi tempoh 12 bulan akan datang.
RichWorks kini meletakkan misi baharu untuk melahirkan 1,000 usahawan ‘Gladiator’ yang mampu mencapai jualan RM10 juta setahun dalam tempoh tiga tahun akan datang, sekali gus menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara dan peluang pekerjaan.
Usahawan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar melalui laman web rasmi www.potensidiri.com/media.
