Ribuan Beri Penghormatan Terakhir Semasa Pengebumian George Floyd
- oleh Mohd Indera
- 4 tahuns lalu
Ribuan penduduk Houston menahan terik matahari pada Isnin untuk memberi penghormatan terakhir kepada George Floyd pada sesi pengebumian yang dipenuhi kesedihan.
Orang ramai berbaris panjang sejak awal pagi, kebanyakannya penduduk di kejiranan Third Ward di mana Floyd membesar, dan semakin bertambah di luar gereja Fountain of Praise di selatan Houston.
Kematian Floyd pada 25 Mei, selepas seorang anggota polis berkulit putih melutut di atas leher lelaki kulit hitam berusia 46 tahun itu, yang mencetuskan kemarahan dan protes antirasisme di Amerika Syarikat (AS) dan seluruh dunia.
Ada antara orang ramai yang hadir memakai baju tertulis ‘Saya tidak boleh bernafas’, kata-kata terakhir Floyd, manakala sebilangan yang lain mengangkat dan menggenggam tangan sebagai simbol kuasa kulit hitam dan solidariti.
Orang ramai terpaksa memakai pelitup separuh muka di dalam gereja, dan hanya dibenarkan berada beberapa saat di hadapan keranda susulan krisis coronavirus.
Bagi Joseph Qualls yang pernah hadir ke sekolah yang sama dengan Floyd, kematian itu amat menyakitkan.
“Dia adalah individu pertama yang saya kenali dalam kejiranan kami yang berjaya mendapatkan biasiswa,” kata pemilik kedai gunting rambut berusia 38 tahun itu yang hadir ke majlis pengebumian itu bersama isterinya, Candice.
Kelvin Sherrod, 41, pula hadir bersama isteri dan dua anak lelaki berusia lapan dan sembilan tahun.
Semua ahli keluarga itu memakai baju hitam tertulis ‘Saya tidak boleh bernafas’.
Menurut Sherrod, kematian Floyd memberi tamparan hebat kepada anaknya.
“Mereka bertanya, apa yang berlaku, kenapa mereka bertindak begitu pada lelaki ini. Kejadian ini memberi kesan pada semua orang tanpa mengira umur,” katanya. – AFP
Foto : Agensi