Ribuan Bergalau Bersama Raisa AmbiVert Tour Zepp Kuala Lumpur
- oleh MDaily Editor
- 14 Feb 2026 4:24 pm
Ruang Zepp Kuala Lumpur, bertukar menjadi lautan emosi malam tadi apabila penyanyi ikonik Indonesia, Raisa, berjaya menghimpunkan ribuan peminat dalam konsert solo yang cukup intim, Raisa AmbiVert Tour 2026.
Pemilihan Zepp KL sebagai lokasi pilihan ternyata tepat apabila sistem bunyi yang sofistikated berjaya menterjemahkan setiap bait lirik “galau” Raisa dengan begitu jernih, sekali gus menyatukan jiwa peminat dalam satu frekuensi yang sama.
Menerusi segmen pertama iaitu AmbiVert Set, Raisa membuka tirai persembahan dengan cukup bertenaga menerusi lagu Semua Di Sini diikuti dengan It’s Okay To Not Be Okay, Pengganti Aku, dan Berpindah Hati.
Keadaan menjadi lebih intim apabila beliau membawakan lagu I’ll Be Waiting secara acapella, disusuli Si Paling Mahir.

Raisa turut menampilkan Barsena bagi memeriahkan suasana menerusi lagu Awal Kisah dan Bila, sebelum meneruskan momentum emosi dengan Terjebak Nostalgia, Ternyata Tanpamu, dan lagu hits Terserah.
Suasana di dalam dewan yang pada mulanya meriah dengan sorakan peminat bertukar hening dan hiba apabila Raisa mendedikasikan segmen khas buat Allahyarham ibunya, Ria Mariaty, yang baru sahaja meninggal dunia pada November lalu.
Sambil menahan sebak dengan linangan air mata di bawah limpahan lampu pentas yang melankolik, Raisa menyuarakan rasa rindu yang tidak berpenghujung.
“Ibu adalah kekuatan saya. Walaupun beliau sudah tiada, setiap bait lagu ini adalah bukti cinta saya yang abadi untuknya,” ujar Raisa dengan nada yang cukup sayu, membuatkan sebahagian besar penonton turut mengalirkan air mata.

Memasuki segmen kedua Zepp KL bergema hebat apabila Raisa mengajak peminat “berpesta” dengan lagu Love & Let Go dan Serba Salah dengan susunan muzik baharu yang lebih segar.
Peminat kemudiannya dibuaikan dengan melodi Jatuh Hati dalam iringan strings, Tentang Cinta serta duet Percayalah bersama Barsena.
Sebagai memenuhi permintaan ramai, Raisa turut mendendangkan Mantan Terindah dalam versi baharu, sebelum menutup segmen ini dengan Could It Be dan lagu kegemaran ramai, Kali Kedua.
Sebagai tanda penghargaan kepada peminat di Malaysia, Raisa kembali ke pentas untuk sesi Encore, beliau membawakan lagu Usai Di Sini sebelum melabuhkan tirai secara rasmi dengan lagu ikonik, Apalah (Arti Menunggu).




