Ikuti Kami:

Review – Takluk: Lahad Datu

Review – Takluk: Lahad Datu

Filem ini mengisahkan skuad PDRM Special Force yang bertanggungjawab untuk menakluki semula Batu Jugar dan Kampung Air daripada militan GMN yang diketuai oleh Raja Iskandar, dilakonkan oleh Eman Manan.

Ketika menonton, saya merasakan elemen dari beberapa filem lain—”Air Force the Movie: Selagi Bernyawa” di permulaan, “Polis Evo 2” di pertengahan, dan “Coast Guard Malaysia: Ops Helang” di akhir.

Terdapat juga kemiripan dalam cara peralihan antara babak, yang tidak mengejutkan kerana pengarahnya adalah Zulkarnain Azhar. Namun, filem ini menunjukkan penambahbaikan yang ketara, dan setakat ini, ia adalah karya terbaik beliau yang saya suka.

Syafiq Kyle tidak mengecewakan dengan karisma yang memikat, walaupun ada kalanya terasa berlebihan. Fikry Ibrahim juga memberi sumbangan yang baik, di samping Kamal Adli dan Anding.

Filem ini benar-benar mendebarkan dari awal hingga akhir. Babak-babak ‘gore’nya agak mengerikan dan tidak sesuai untuk kanak-kanak kerana rating 16 tahun ke atas; terdapat babak headshot, darah, dan kelar, hingga membuatkan bulu roma saya meremang.

Pemandangan yang ditampilkan sangat cantik, terutamanya ketika menggambarkan kawasan kampung Batu Jugar dan kepulauan sekitarnya. Kualiti audio dan dialog juga baik, sesuai dengan situasi yang mendebarkan.

Jalan ceritanya tersusun dan menarik, memberikan gambaran tentang SOP PDRM dalam menangani penjenayah dan cara Special Force merancang strategi, serta teknologi yang digunakan.

Selain itu, babak kekeluargaan walaupun sekadar filler tetap memberi kesan menyentuh, terutamanya sokongan daripada rakan-rakan sejawat ketika menghadapi kesukaran.

Namun, terdapat beberapa kelemahan. Raja Iskandar yang dilakonkan oleh Eman Manan kelihatan jahat melalui dialog sahaja, tetapi kurang memberi impak dari segi tindakan.

Saya berharap watak ini lebih menyerupai Hasnul Rahmat dalam “Polis Evo 2” yang jahat dari segi dialog dan perlakuan. Dengan ramai watak yang diperkenalkan dengan pantas, backstory dan penutup bagi setiap watak tidak dibangunkan dengan baik.

Beberapa kata-kata semangat terasa berlebihan, dan hanya sedikit yang tidak kena pada tempatnya. Akhir ceritanya juga agak tergantung, mungkin menandakan adanya sekuel.

Secara keseluruhannya, saya sangat menikmati “Takluk: Lahad Datu.” Ia memenuhi harapan saya dan sangat disyorkan untuk ditonton, terutamanya sempena Hari Kebangsaan. Satu lagi peningkatan yang baik dari Zulkarnain Azhar—kerja yang hebat!

Saya memberikan filem “Takluk: Lahad Datu” 8/10.

Komen
Loading...