Setelah melangkah dalam industri muzik selama 25 tahun, penyanyi Rossa akhirnya berkongsi kisah perjalanan hidup dan kariernya melalui filem dokumentari berjudul All Access to Rossa 25 Shining Years.
Dokumentari ini tidak hanya menyajikan sekilas konser megah Rossa yang diadakan di tujuh kota di Indonesia dan Malaysia, tetapi juga mengupas lebih dalam perjalanan emosional Rossa sebagai seorang manusia, wanita, dan ibu.
Melalui pendekatan yang cukup dramatis, filem dokumentari ini mengeksplorasi cerita di sebalik lagu-lagu yang dibawakan dengan suara Rossa yang unik.
Filem ini menampilkan proses latihan dan persembahan penyanyi berdarah Sunda itu di atas pentas, membingkai setiap lagu dengan kisah peribadinya. Dalam wawancara, Rossa menjelaskan bahawa setiap lagu yang dinyanyikannya memiliki cerita yang mengalir dari perjalanan hidupnya.
All Access to Rossa 25 Shining Years juga menggali kehidupan Rossa di luar sorotan pentas. Penonton diperlihatkan sisi lain Rossa yang jarang terlihat, seperti sifatnya yang rentan dan sering jatuh sakit, sifat perfeksionisnya dalam bekerja, cara dia berjenaka dalam kehidupan seharian, serta dedikasi dalam beribadah dan usaha merawat anak tunggalnya, Rizky Langit Ramadhan.
Filem dokumentari ini bukan hanya menceritakan perjalanan kariernya, tetapi juga mengungkap keterbukaan Rossa mengenai perceraian rumah tangganya pada 2009 dengan Yoyo Padi Reborn. Pelantun lagu ‘Nada-Nada Cinta’ itu buat pertama kalinya bercerita tentang perasaannya, cara dia bangkit, dan hubungannya kini dengan Rizky dan Yoyo.
Kisah keluarga mereka menjadi bahagian penting dalam dokumentari ini, terutama menampilkan Rizky dan Yoyo yang juga akan berkongsi perasaan mereka. Penyanyi yang bernama lengkap Sri Rossa Roslaina Handiyani itu juga terlihat jujur dalam filem dokumentari, di mana beberapa kali dia tampak menangis dan terharu.
Melalui All Access to Rossa 25 Shining Years, Rossa juga menekankan pentingnya komitmen dalam menghibur peminat, serta bagaimana dia sentiasa berusaha menunjukkan wajah bahagia ketika tampil, meskipun sedang menghadapi pelbagai kesulitan.
Namun, filem dokumentari ini juga mempunyai kekurangan. Alur dalam dokumentari ini terasa terlalu cepat dan kaku, kerana setiap beberapa minit, penonton dihadapkan kepada pelbagai wawancara yang disampaikan oleh sahabat dan keluarga Rossa.
Ini membuatkan tiada jeda dan kurang variasi, sehingga ruang untuk merenungkan cerita hidup Rossa menjadi kurang bermakna. Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya, dokumentari ini tetap menarik dalam menyajikan kisah kehidupan Rossa yang mampu mengundang air mata peminat.
Dihasilkan oleh Inspire Pictures dan Sinemaku Pictures, filem dokumentari ini berjaya menyajikan lebih dari sekadar perjalanan karier Rossa.
Filem ini membawa penonton menyelami sisi lain dari sosok Rossa yang belum pernah terungkap sebelum ini, mulai dari perjalanan kariernya, perjuangannya sebagai seorang ibu, hingga kisah di sebalik konser tunggal 25 Shining Years Concert yang menandakan pencapaian luar biasa dalam industri muzik Indonesia.