REVERSI: Filem Sci-Fi Menyentuh Jiwa Bakal Gegar Pawagam Penghujung Tahun Ini
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu
Filem tempatan yang dinanti-nantikan, REVERSI, bakal menemui penonton di seluruh Malaysia mulai 19 Disember 2024.
Arahan pengarah terkenal Adrian Teh, karya bergenre sains fiksyen yang sarat emosi ini membawa tema pengorbanan, keinsafan, dan peluang kedua, menjadikannya sebagai filem wajib tonton untuk menutup tirai 2024.
REVERSI menampilkan barisan pelakon terkemuka Malaysia seperti Beto Kusyairy, Shiqin Kamal, Vanidah Imran, Hasnul Rahmat, Azhan Rani, Zahiril Adzim, dan Qi Razali.
Di bawah arahan Adrian Teh yang terkenal dengan filem-filem aksi berimpak tinggi seperti PASKAL The Movie, WIRA, dan MALBATT: MISI BAKARA, REVERSI menandakan anjakan baharu dalam portfolio kreatifnya.
Majlis malam gala dan sidang media filem ini berlangsung dengan meriah di GSC Mid Valley Megamall, dihadiri barisan pelakon utama, pengarah filem, serta tetamu istimewa.
Filem ini diterbitkan oleh ACT 2 Pictures, Clover Films, GSC Cinemas, dan K-Movie Entertainment, manakala pengedaran dikendalikan oleh GSC Movies.
REVERSI mengisahkan Akid (lakonan Beto Kusyairy), seorang lelaki yang diberikan keupayaan untuk kembali ke masa lalu demi menyelamatkan isteri dan anaknya.
Walau bagaimanapun, usahanya untuk mengubah takdir penuh dengan cabaran, memperlihatkan keindahan nilai cinta, pengorbanan, dan harapan.
Dengan elemen masa sebagai nadi utama penceritaan, filem ini menjanjikan pengalaman sinematik penuh emosi yang sukar dilupakan.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan kisah yang menyentuh jiwa ini di pawagam seluruh negara mulai 19 Disember 2024!