Ikuti Kami:

Resonance: Shila Amzah Imbau Memori 25 Tahun di DFP Mei Ini

Resonance: Shila Amzah Imbau Memori 25 Tahun di DFP Mei Ini

Foto: NSTP.

Selepas dua dekad mewarnai industri muzik tempatan dan antarabangsa, penyanyi versatil Shila Amzah bakal merealisasikan impiannya beraksi di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 9 Mei depan.

​Konsert solo Resonance: Shila Amzah In Harmony – 25 Years of Music & Memories, dianjurkan khusus bagi meraikan sambutan jubli perak pembabitan beliau dalam dunia seni sejak bergelar penyanyi kanak-kanak.

​Shila, 35, atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Hamzah, menyifatkan peluang mengadakan persembahan di DFP sebagai satu pencapaian peribadi tertinggi buat setiap pemuzik.

​”Saya sangat teruja kerana ini adalah mimpi bagi setiap penyanyi dan pemuzik untuk bermain di DFP. Kita tahu kualiti akustik di sini sangat berbeza dengan lokasi lain. Secara peribadi, ini adalah salah satu pencapaian terbaik sepanjang karier saya,” katanya.

​Mengulas mengenai persiapan, Shila mengakui perasaan gementar tetap ada memandangkan standard tinggi yang ditetapkan oleh venue berkenaan.

​”Dari segi persiapan dan senarai lagu, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar walaupun masih ada beberapa perubahan saat akhir. Apabila memikirkan akan beraksi di DFP, perasaan gementar itu lebih sedikit.

​”Namun, insya-Allah kami akan cuba membuahkan hasil yang terbaik agar penonton dapat merasakan kepuasan yang sama,” jelasnya yang sebelum ini sering melihat rakan seperjuangan dan penyanyi muda beraksi di pentas tersebut.

​Konsert itu nanti akan dibahagikan kepada beberapa segmen yang menceritakan perjalanan hidup serta evolusi muzik Shila yang penuh warna-warni.

​”Perjalanan 25 tahun adalah tempoh yang panjang. Penonton bakal dibawa merasai pelbagai emosi, ada segmen nostalgik, sedih, malah ada yang akan ‘mengentak jiwa’ sebelum kembali gembira,” tambahnya lagi.

​Sementara itu, DFP dalam satu kenyataan menyatakan rasa bangga dapat menampilkan Shila Amzah sebagai salah seorang artis Malaysia yang paling dikenali di peringkat antarabangsa.

​”Konsert ini adalah sambutan terhadap perjalanan seninya, daripada seorang kanak-kanak berbakat besar sehingga menjadi duta muzik global. Penonton bakal disajikan dengan rendisi simfonik lagu-lagu hits beliau dalam bahasa Melayu, Mandarin, dan Inggeris,” katanya.

​Bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan hebat ini, tiket mula dijual pada harga RM199, RM299, RM399, dan RM499 untuk kategori normal, manakala tempat duduk Suite dijual pada harga RM599 dan RM649.

Tiket boleh didapati di www.dfp.com.my

Komen
Loading...