Repvblik Kembali Gegar Malaysia Dengan Konsert “Sandiwara Cinta” Di Zepp KL
- oleh MDaily Editor
- 30 Oct 2025 11:07 pm
Kumpulan muzik popular dari Indonesia, Repvblik, bakal kembali menggamatkan pentas Malaysia menerusi konsert eksklusif “Sandiwara Cinta” Live in Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 8 Februari 2026 di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert yang dianjurkan oleh Rockstage Entertainment itu bakal membawa peminat menelusuri perjalanan muzik Repvblik yang sinonim dengan lagu-lagu beremosi dan sarat mesej cinta.
Antara lagu popular yang bakal dipersembahkan termasuk Sandiwara Cinta, Selimut Tetangga, Aku Takut dan Hanya Ingin Kau Tahu yang pernah menjadi siulan ramai di Malaysia dan Indonesia.
Repvblik ditubuhkan pada 24 Mac 2004 di Bogor, Jawa Barat dan mula mencipta nama di persada muzik Indonesia menerusi album sulung mereka Punya Arti.
Keunikan gaya muzik dan kekuatan vokal menjadikan kumpulan ini antara band pop rock paling berpengaruh di rantau ini.
Barisan terkini Repvblik dianggotai oleh Ruri Herdian Wantogia selaku vokalis, Lafi Hariyatulafian (Lavy) di posisi bass, Tyar sebagai pemain keyboard dan vokal latar serta Ei sebagai gitaris utama.

Menariknya, vokalis utama kumpulan itu, Ruri Repvblik, kini turut menyertai rancangan realiti popular Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), menjadikan kemunculan semula mereka ke Malaysia sesuatu yang dinanti-nantikan peminat tempatan.
Pihak Rockstage Entertainment dalam kenyataan di Facebook berkata, konsert kali ini akan menjadi malam istimewa buat peminat yang merindui persembahan penuh tenaga daripada Repvblik.
“Kali ni kita bagi laluan kat adik-adik dan akak-akak pulakkkk… versi ‘keras’ kita atur selepas raya, yeahhh!” tulis penganjur dalam nada berseloroh.
Tiket untuk konsert “Sandiwara Cinta” Live in Kuala Lumpur akan mula dijual pada 3 November 2025 jam 12 tengah hari menerusi laman rasmi www.myticketempire.com.
Konsert ini dijangka menjadi salah satu acara pembuka tirai 2026 yang paling dinanti peminat muzik seberang, mengukuhkan lagi pengaruh Repvblik sebagai antara kumpulan paling disayangi di Malaysia.




