Rentas Negeri Suami Isteri Yang Tinggal Berjauhan Dibenarkan Bermula Isnin Ini
- oleh Mohd Indera
- 4 tahuns lalu
Kerajaan kini membenarkan semula perjalanan rentas negeri, buat suami isteri yang tinggal berjauhan atas urusan pekerjaan bermula 1 Jun ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan tersebut dibuat setelah Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri hari ini memberi kelonggaran kepada pasangan untuk berbuat demikian.
Ismail Sabri menyatakan, pada 21 Mei lalu, kerajaan memutuskan buat sementara untuk tidak membenarkan sama sekali pergerakan merentas negeri bagi mengelakkan penyebaran COVID-19 menjelang sambutan Aidilfitri pada 24 Mei.
“Hari ini mesyuarat bersetuju bahawa larangan itu ditarik balik. Oleh itu pasangan suami isteri yang terpisah boleh merentas negeri untuk berjumpa pasangan dan keluarga masing-masing.”
Selain itu, perjalanan rentas negeri juga dibolehkan bagi kes membabitkan kecemasan, kematian, perubatan dan urusan kerja seperti berulang alik ke tempat kerja.
Bagaimanapun dia menegaskan bagi alasan lain secara keseluruhannya masih belum dibenarkan setakat ini.