Ikuti Kami:

Remaja Sabah Guna Karung Guni Sebagai Bagasi, Terima Bantuan Segera Untuk Sambung Pengajian

Remaja Sabah Guna Karung Guni Sebagai Bagasi, Terima Bantuan Segera Untuk Sambung Pengajian

Seorang pelajar cemerlang dari Sabah yang menggunakan karung guni untuk membawa barang-barangnya semasa pendaftaran universiti baru-baru ini telah menerima bantuan kewangan dengan segera.

Kisah menyentuh hati remaja perempuan bernama Rafida Zaiddin itu menarik perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang terus menghubungi Rafida. Perkara ini dikongsi oleh Fadhlina melalui satu hantaran di Facebook.

Rafida telah mendaftar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan menurut Fadhlina, beliau tersentuh dengan keadaan remaja itu kerana pada hari yang sama beliau turut menghantar anak sulungnya untuk pendaftaran universiti.

“Rafida, anak yang cerdik. Berasal dari bumi bertuah, Sandakan. Keputusan peperiksaan beliau di Matrikulasi Labuan sangat membanggakan. Sedang mengikuti pengajian perakaunan di UMS. Bagaimana isu Rafida ini sangat dekat di hati saya? Kerana pada hari yang sama saya turut menghantar anak sulung saya ke universiti,” kata Fadhlina.

Setelah menghubungi Rafida secara peribadi, Fadhlina segera memastikan bantuan kewangan dan keperluan lain disediakan bagi memastikan Rafida dapat meneruskan pengajiannya tanpa halangan.

Fadhlina juga mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah, Cikgu Rahman, dan Dr. Abdullah Bade, pensyarah UMS, yang telah melaporkan keadaan Rafida kepadanya.

“Fly high, stand tall Rafida. Insya-Allah Rafida tidak perlu risau apa-apa tentang pengajiannya. Semuanya telah diuruskan dengan baik sehingga habis pengajian. Semoga Allah SWT memberkati pengajian anakanda Rafida!”

Komen
Loading...