Ikuti Kami:

Rebut Peluang Tonton “Ejen Ali The Movie 2” Lebih Awal di GSC Seluruh Negara

Rebut Peluang Tonton “Ejen Ali The Movie 2” Lebih Awal di GSC Seluruh Negara

Peminat animasi tempatan khususnya pengikut setia watak ikonik Ejen Ali kini berpeluang menyaksikan tayangan awal filem “Ejen Ali The Movie 2” yang dijadualkan berlangsung serentak di sembilan pawagam terpilih Golden Screen Cinemas (GSC) seluruh negara pada 18 Mei ini, jam 11 pagi.

Inisiatif tayangan awal ini merupakan kerjasama strategik antara syarikat produksi animasi tempatan WAU Animation, Primeworks Studios, dan GSC sebagai usaha memperkukuh kedudukan filem animasi Malaysia dalam pasaran arus perdana.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, tiket tayangan khas ini ditawarkan pada harga RM40 dan didatangkan dengan pelbagai barangan eksklusif termasuk satu tiket filem, lencana butang Ejen Ali The Movie 2, dan set kombo popcorn sederhana.

Antara lokasi tayangan awal yang terlibat adalah:

  • GSC Mid Valley Megamall
  • GSC KL East Mall
  • GSC MyTOWN, Kuala Lumpur
  • GSC Setia City Mall, Setia Alam
  • GSC IOI City Mall, Putrajaya
  • GSC AEON Bandaraya Melaka
  • GSC Aman Central, Alor Setar
  • GSC East Coast Mall, Kuantan

Menambah keistimewaan bagi peminat yang mahukan pengalaman lebih premium, Aurum Theatre di The Exchange TRX turut menawarkan dua slot tayangan khas pada jam 11 pagi dan 1.30 petang.

Penonton di lokasi eksklusif ini akan menerima rantai kunci Ejen Ali The Movie 2, tiket tayangan serta snek dan minuman, semuanya termasuk dalam pakej RM40.

Kemeriahan tayangan ini turut dimeriahkan dengan kehadiran maskot Ejen Ali serta barisan pelakon suara latar, yang bakal memberikan pengalaman interaktif kepada penonton.

Pihak penganjur juga menggalakkan pengunjung terlibat hadir dalam kostum cosplay bertemakan Ejen Ali sebagai sebahagian daripada acara.

“Ejen Ali The Movie 2” merupakan kesinambungan kepada kejayaan filem pertama yang mencatat kutipan pecah panggung, dan diangkat sebagai antara karya animasi tempatan paling berjaya di pasaran.

Filem ini dijangka mencetus fenomena baharu dalam kalangan penonton pelbagai lapisan usia.

Orang ramai yang berminat disarankan untuk membuat tempahan awal melalui laman web rasmi GSC atau aplikasi GSC bagi mengelakkan kekecewaan.

Komen
Loading...