‘Re: Grasshopper Concert Tour 2025’ Hibur Peminat Di Resorts World Genting Disember Ini
- oleh Mohd Indera
- 12 Sep 2025 12:28 pm

Kumpulan pop legenda Hong Kong, Grasshopper, bakal kembali menghiburkan peminat tanah air menerusi konsert ‘Re: Grasshopper Concert Tour 2025’ yang dijadualkan berlangsung pada 27 Disember ini, pukul 6 petang di Arena of Stars, Resorts World Genting.
Konsert itu dijangka menjadi kemuncak sambutan hujung tahun 2025 apabila Grasshopper tampil dengan rangkaian lagu popular mereka termasuk Love Trap, Half a Heart, Forget Love Samba dan Baby, I’m Sorry.
Acara tersebut turut membawa makna istimewa kerana menandakan kebangkitan semula kumpulan itu selepas siri jelajah Asia mereka terhenti tahun lalu berikutan ahli kumpulan, Remus Choy, menjalani pembedahan otak.
Selepas pulih, Grasshopper kembali aktif dan memilih tema “Re” sebagai simbol semangat baharu dan mewakili elemen Recover, Restart, Reunion dan Rearrange, yang menzahirkan perjalanan mereka untuk kembali ke pentas dan bersama peminat.
Selain persembahan lagu klasik, peminat juga berpeluang menyaksikan persembahan lagu baharu berjudul Old but Spicy, hasil ciptaan Remus yang membawa mesej ketabahan dan semangat berterusan walaupun usia semakin meningkat.
Jualan tiket pra-tempahan akan dibuka kepada ahli Genting Rewards Card (GRC) Gold ke atas pada 12 Sept, jam 12 tengah hari, manakala jualan umum bermula 17 Sept, jam 3 petang.
Harga tiket ditawarkan pada RM868 (VIP), RM768 (PS1), RM568 (PS2), RM468 (PS3) dan RM268 (PS4) dengan caj pemprosesan RM4 bagi setiap tiket. Ahli GRC turut menikmati diskaun 10 peratus bagi kategori VIP hingga PS3.
Maklumat lanjut berhubung konsert ini boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi rwgenting.com