Ikuti Kami:

Rayme Zainal Lancar ‘Gema Raya’, Lagu Tema Festival Aidilfitri Terbesar Di PICC

Rayme Zainal Lancar ‘Gema Raya’, Lagu Tema Festival Aidilfitri Terbesar Di PICC

Selepas mengukuhkan nama sebagai penganjur acara mega, penyanyi dan usahawan, Rayme Zainal kini kembali memeriahkan industri muzik tanah air dengan pelancaran single raya terbaharunya berjudul Gema Raya.

Lebih istimewa, lagu ciptaan sepenuhnya oleh Rayme sendiri itu turut dipilih sebagai lagu tema rasmi bagi festival Aidilfitri terbesar, Gema Raya Putrajaya 2026 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Rayme, 47, berkata naskhah kali ini tampil berbeza apabila beliau mempertaruhkan genre rancak dengan suntikan elemen muzik Timur Tengah atau Arab bagi memenuhi cita rasa pendengar masa kini.

Rayme Zainal bersama barisan wakil penaja Gema Raya Putrajaya 2026@PICC.

“Lagu ini disuntik dengan elemen rancak supaya mudah diterima oleh semua. Mesejnya ringan namun tetap selari dengan objektif kita untuk menyambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan.

“Saya menerapkan unsur elemen muzik Timur Tengah dan Melayu dalam usaha mengikut trend semasa lagu raya baharu yang lebih rancak dan moden,” katanya pada majlis pelancaran festival tersebut di sini, semalam.

Bekas peserta program realiti All Together Now (2022) itu turut menepis tanggapan ‘syok sendiri’ apabila menyanyikan sendiri lagu tema festival anjurannya.

Jelasnya, penglibatan itu adalah sebahagian daripada momen penting dalam kerjaya seninya yang kini melangkah ke fasa penganjuran acara mega melalui syarikatnya, Raydiates Blue Sdn Bhd.

“Harapan saya apabila gabungan lagu dan muzik tema ini dipromosikan, secara tidak langsung ia akan menarik minat orang ramai untuk datang berkunjung ke Gema Raya Putrajaya 2026 di puncak tertinggi Putrajaya,” tambahnya.

Gema Raya Putrajaya 2026@PICC melibatkan penyertaan hampir 300 vendor dan jangkaan kehadiran sehingga 800,000 pengunjung bermula 15 Februari ini selama 33 hari.

Festival yang mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu dijangka menarik kehadiran sehingga 800,000 pengunjung dengan penyertaan hampir 300 vendor.

Selain membeli-belah, pengunjung bakal dihiburkan dengan persembahan barisan artis gred A yang juga merupakan bekas finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) antaranya Aina Abdul, Ernie Zakri, Khai Bahar, Amir Masdi dan Nabila Razali.

Turut memeriahkan acara ialah Bella Astillah serta bakat baharu seperti juara Raise The Star Malaysia, Didie Shazry dan kumpulan Alpha daripada Big Stage Alpha.

Komen
Loading...