Ikuti Kami:

‘Raya Yay Yay’ : Gandingan Dafi, Ryan Bakery dan Farel Prayoga

‘Raya Yay Yay’ : Gandingan Dafi, Ryan Bakery dan Farel Prayoga

Sempena kehadiran Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi, tiga nama besar daripada dua negara, Dafi, Ryan Bakery dan Farel Prayoga tampil dengan buah tangan istimewa buat peminat, iaitu lagu raya berjudul Raya Yay Yay.

Naskhah terbitan FYP Media yang dilancarkan secara rasmi pada 27 Februari lalu itu bukan sahaja menyuntik energi luar biasa, malah dilihat sebagai jambatan yang menyatukan peminat di Malaysia dan Indonesia menerusi alunan muzik yang ceria dan penuh kemeriahan.

Hasil ciptaan sepenuhnya oleh komposer Iqie Hugh, Omar K dan John Jeeves, Raya Yay Yay berjaya menangkap intipati kegembiraan menyambut lebaran, sekali gus mengimbau memori kemeriahan Syawal zaman kanak-kanak.

Bagi penyanyi berbakat, Dafi, gandingan bersama Ryan dan Farel merupakan satu pengalaman baharu yang cukup bermakna.

“Rakaman lagu ini dilakukan secara tidak sengaja. Apabila pihak pengurusan menawarkan peluang untuk berganding, saya melihatnya sebagai peluang keemasan untuk mencuba sesuatu yang di luar zon selesa.

“Banyak perkara baharu yang saya lalui sepanjang proses rakaman. Vibe lagu yang penuh tenaga menuntut saya untuk memberikan sepenuh jiwa agar ‘warna’ lagu ini sampai kepada pendengar,” ujarnya.

Sementara itu, pempengaruh popular, Ryan Bakery menyifatkan Raya Yay Yay sebagai cerminan kepada jiwanya yang sentiasa mahu menyebarkan aura positif.

“Hari Raya sentiasa digambarkan dengan kemeriahan berkumpul bersama keluarga. Itulah semangat yang kami cuba terjemahkan, bukan sekadar dalam lagu, malah dalam muzik video.

“Aidilfitri bukan satu pertandingan. Kita harus menikmatinya dengan penuh keinsafan dan menghargai setiap detik kebahagiaan yang kita miliki hari ini,” katanya.

Bagi bintang cilik kelahiran Banyuwangi, Indonesia, Farel Prayoga, peluang merakamkan lagu raya ini amat dinanti-nantikan memandangkan ia merupakan pengalaman pertamanya sepanjang bergelar anak seni.

“Di Indonesia, fokus lagu biasanya lebih kepada bulan Ramadan. Apabila diberikan peluang merakamkan lagu raya di Malaysia, saya tidak melepaskannya.

“Walaupun ada beberapa kosa kata yang asing bagi saya sehingga membuatkan proses rakaman sedikit mencabar, namun saya sangat gembira dapat belajar perkara baharu. Semoga Raya Yay Yay diterima baik oleh pendengar di kedua-dua negara,” jelasnya.

Bagi peminat yang ingin merasai kehangatan Syawal lebih awal, muzik video Raya Yay Yay kini sudah boleh ditonton menerusi saluran YouTube Indigital Music bermula 6 Mac.

Loading...