‘Raya Pum Pang’ Cecah 1 Juta Tontonan, Fazura & Syasya Ceriakan Aidilfitri
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu

Lagu raya baharu Raya Pum Pang nyanyian Fazura dan Syasya Rizal terus mencuri perhatian apabila muzik videonya berjaya meraih lebih 1 juta tontonan di YouTube sejak dilancarkan pada 7 Mac lalu.
Kejayaan ini menandakan sambutan luar biasa daripada peminat yang teruja dengan lagu berirama rancak ini.
Lagu Raya Pum Pang adalah hasil ciptaan Mage, Ja’a, Glowrush, dan Nick Ariff serta diterbitkan oleh Universal Music Malaysia dengan kerjasama Faithful Music dan Fazura Studios.
Dengan gabungan melodi ceria dan mesej penuh makna mengenai kebersamaan di Aidilfitri, lagu ini telah menjadi antara pilihan utama untuk memeriahkan sambutan lebaran tahun ini.
Fazura berkongsi keterujaannya dengan kejayaan lagu ini dan pengalaman berkolaborasi bersama Syasya.
“Saya sangat bersyukur dan teruja melihat sambutan luar biasa ini. Ini adalah pengalaman pertama saya berduet dengan artis wanita, dan melihat lagu ini mendapat tempat di hati peminat sangat menggembirakan,” katanya.
Menurut Fazura, beliau berharap lagu dan muzik video Raya Pum Pang dapat terus menceriakan suasana Aidilfitri.
“Saya harap semua akan terhibur mendengar lagu ini dan menonton muzik videonya. Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi juga tentang mencipta kenangan bersama insan tersayang,” tambahnya.
Bagi Syasya Rizal, yang sebelum ini dikenali sebagai anggota kumpulan Dolla, Raya Pum Pang adalah hadiah istimewa buat peminatnya.
“Saya sangat gembira melihat sambutan luar biasa terhadap lagu ini. Ia adalah lagu yang menyeronokkan, ‘catchy’ dan penuh semangat raya,” katanya.
Syasya turut berkongsi pengalaman unik menjalani penggambaran muzik video sambil mengawasi bayinya, Yassir.
“Penggambaran kali ini sangat berbeza kerana saya perlu memastikan Yassir selesa di set. Tapi, dia sangat ‘friendly’ dan seronok dengan suasana meriah,” ujarnya.
Selain itu, Syasya memuji Fazura sebagai seorang yang penyayang dan kelakar.
“Saya suka Kak Faz. Pada awalnya saya risau kalau kami tidak serasi, tetapi ternyata ‘vibes’ kami sangat kena. Dia seperti seorang kakak yang penyayang dan kelakar,” katanya.
Lagu Raya Pum Pang kini boleh didengarkan di semua platform digital utama, termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube.
Dengan populariti yang terus meningkat, lagu ini dijangka menjadi antara lagu raya paling digemari tahun ini.