Ikuti Kami:

“Raya Macam Mana?”: Diana Danielle & Francis Roman Serlah Keharmonian Kaum

“Raya Macam Mana?”: Diana Danielle & Francis Roman Serlah Keharmonian Kaum

Semangat menyambut ketibaan Syawal tahun ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran single terbaharu berjudul “Raya Macam Mana?”, hasil kolaborasi istimewa antara pelakon dan penyanyi, Diana Danielle, bersama rapper meningkat naik, Francis Roman.

Lagu ini tampil dengan rentak ceria dan moden, sekali gus membawa kelainan dalam deretan lagu raya tempatan yang lazimnya sarat dengan elemen nostalgia. Berbeza daripada karya perayaan biasa, “Raya Macam Mana?” disampaikan dalam bentuk dialog muzik yang unik.

Dalam tema penceritaan yang diketengahkan, Francis bertindak mengajukan persoalan mengenai tradisi sambutan Hari Raya, manakala Diana menjawab dan menjelaskan setiap perincian keindahan perayaan tersebut.

Menariknya, Diana turut menyelitkan lirik dalam bahasa Mandarin sebagai simbol proses pembelajarannya serta mencerminkan identiti kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia.

“Saya belum pernah tampil berbahasa Mandarin sebelum ini, jadi ini adalah satu pencapaian baharu buat saya,”

“Maklum balas yang saya terima sangat positif. Ramai yang menyifatkan lagu ini sangat ‘catchy’ dan mudah dinikmati. Malah, keyakinan saya untuk menyanyi secara langsung juga meningkat berkat sokongan peminat,” katanya di majlis pelancaran yang diadakan di Red Box, The Gardens, di sini, hari ini.

Lagu ini juga diperkukuhkan dengan segmen rap bertenaga daripada Francis yang menambah elemen kontemporari pada naskhah tersebut.

Dalam pada itu, Francis berkongsi keterujaannya sepanjang proses penghasilan lagu tersebut, meskipun ini merupakan kali pertama beliau bekerjasama dengan Diana.

“Saya hanya mahu fokus kepada muzik dan rap. Kerjasama ini memberikan saya ruang untuk bereksperimen dengan elemen yang lebih segar, dan bekerja dengan Diana sangat santai,” katanya.

Menyentuh tentang perjalanan seninya, Francis yang mula berkarya dari arus muzik underground berharap kolaborasi ini menjadi titik tolak untuk beliau lebih dikenali.

“Biarpun saya bermula dari peringkat bawah dan masih ramai yang belum mengenali saya, saya berharap lagu ini mendapat sambutan hangat. Jika orang ramai mula mengenali saya dan menyanyi bersama lagu ini, itu sudah cukup menggembirakan buat saya,” tambahnya lagi.

Bagi melengkapkan pelancarannya, single ini turut hadir dengan video muzik rasmi yang memaparkan suasana meriah sambutan Aidilfitri.

Orang ramai boleh menonton video muzik rasmi “Raya Macam Mana?” di saluran YouTube rasmi mereka.

Loading...