Ikuti Kami:

Ratusan Sambut Kepulangan 23 Sukarelawan Global Sumud Flotilla di KLIA

Ratusan Sambut Kepulangan 23 Sukarelawan Global Sumud Flotilla di KLIA

Foto Oleh: Astro Awani.

Sorakan gemuruh ratusan penyokong bergema di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) apabila 23 sukarelawan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) selamat tiba di tanah air pada jam 11.30 malam tadi.

Kepulangan mereka disambut penuh emosi dan syukur oleh ahli keluarga, sahabat handai, aktivis kemanusiaan serta penyokong yang memenuhi ruang ketibaan sambil membawa sepanduk, bunga dan bendera Malaysia serta Palestin.

Tangisan kegembiraan, pelukan erat antara anak dan ibu, isteri dan suami serta doa syukur mewarnai suasana menyentuh hati itu selepas hampir seminggu mereka berdepan detik genting di tangan pihak berkuasa Israel.


Foto: Berita Harian.

Beberapa sukarelawan termasuk PU Rahmat, Ustaz Mad Kecik dan beberapa delegasi lain turut dilihat sujud syukur sebaik tiba, sebagai tanda kesyukuran atas perlindungan dan keselamatan yang dikurniakan sepanjang misi tersebut.

Terdahulu, pesawat Emirates EK342 dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang membawa kumpulan berkenaan mendarat di KLIA1 kira-kira jam 10.07 malam.

Kepulangan mereka turut diraikan dengan laungan “Takbir!”, “Free Palestine!”, “Hidup Gaza!” dan nyanyian lagu patriotik “Inilah Barisan Kita” yang bergema di balai ketibaan, diiringi kibaran bendera Malaysia dan Palestin.

Foto: Berita Harian.

Antara peserta misi kemanusiaan GSF ke Gaza ialah Datin Seri Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah, Nurfarahin Romli (Farah Lee), Danish Nazran Murad, Zizi Kirana, Nurul Hidayah Mohd Amin (Ardell Aryana), PU Rahmat, Musa Nuwayri, Iylia Balqis Suhaimi, Sul Aidil, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin serta Rusydi Ramli.

Turut bersama ialah Razali Awang, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak, Zainal Rashid Ahmad, Muhammad Abdullah (Ustaz Mad Kecik), Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs), Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Dr Taufiq Mohd Razif.

Misi Global Sumud Flotilla (GSF) disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara yang belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, selain membawa bantuan kemanusiaan berbentuk makanan, susu bayi dan ubat-ubatan kepada penduduk di wilayah berkenaan.

Kepulangan sukarelawan Malaysia itu turut mendapat liputan meluas di media sosial apabila rakyat menzahirkan rasa bangga dan menggelar mereka wira serta wirawati kemanusiaan tanah air.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, bersama Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari, turut hadir di KLIA1 untuk menyambut ketibaan wira dan wirawati kemanusiaan berkenaan.

Turut berada di lokasi ialah wakil Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) termasuk Ketua Pengarahnya Datuk Sani Araby Al-Kahery, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri, selain lima peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) yang mewakili kumpulan berkenaan iaitu Fahmi Abd Moin, Ahmad Nazrin Abu Bakar, Dir Kheizwan Kamaruddin, Azril Mohd Amin dan Luqman Mazlan.

Dalam perkembangan berkaitan, satu Himpunan Solidariti Bersama Gaza akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada jam 8 malam esok bagi menyuarakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama kesemua 23 delegasi Malaysia dijangka menghadiri majlis itu bersama ribuan penyokong, bagi memperlihatkan perpaduan rakyat Malaysia dalam menyokong perjuangan kemanusiaan sejagat.

Komen
Loading...