Ikuti Kami:

‘Ratu OST’ Kembali! “Sayang Orang Sama” Dipilih Sebagai OST ‘Khianat Yang Terpilih’

‘Ratu OST’ Kembali! “Sayang Orang Sama” Dipilih Sebagai OST ‘Khianat Yang Terpilih’

Gelaran ‘Ratu OST’ sememangnya sukar digoyahkan apabila penyanyi bervokal ampuh, Adira Suhaimi, sekali lagi dipilih untuk menghiasi slot drama rantaian utama televisyen menerusi single terbaharu beliau berjudul Sayang Orang Sama.

Karya yang sarat dengan emosi ini telah dipilih sebagai lagu runut bunyi (OST) bagi drama bersiri 30 episod, Khianat Yang Terpilih, yang mula menemui penonton di slot Akasia TV3 hari ini.

Menurut Adira, kolaborasi terbaharunya bersama Nova Music Malaysia ini bukan sekadar pelancaran lagu biasa, sebaliknya ia merupakan sebuah naskhah yang sangat dekat dengan jiwanya.

“Lagu ini sangat dekat dengan jiwa saya. Ia bukan mengenai siapa yang betul atau salah, tetapi tentang perasaan apabila kita menyayangi seseorang dan akhirnya sedar bahawa kasih itu tidak sepenuhnya milik kita.

“Semasa merakamkan lagu ini, saya banyak berfikir soal penerimaan dan reda. Tidak semua cinta perlu dimiliki sepenuhnya, dan tidak semua perasaan perlu berakhir dengan penyesalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sayang Orang Sama merupakan hasil nukilan komposer berbakat, Mas Dewangga dan Jova Devito, yang sering kali menghiasi pentas Anugerah Juara Lagu (AJL). Manakala liriknya pula digarap bersama Dato’ Arisz Abdul Rahman JP.

Gubahan balada kontemporari yang sederhana namun menyentuh hati ini dilihat sangat serasi dengan vokal Adira yang terkenal dengan keupayaan menyampaikan rasa secara tulus dan berlapik.

Pemilihan lagu ini sebagai lagu tema slot Akasia (7 malam – 8 malam) di TV3 dijangka bakal mengulangi kejayaan lagu-lagu OST Adira sebelum ini yang sering menjadi siulan ramai.

Adira menyifatkan kekuatan lagu ini terletak pada kejujuran liriknya yang menggambarkan realiti kehidupan, khususnya bagi mereka yang memilih untuk memendam rasa demi menjaga hati orang lain.

“Lagu ini adalah suara kepada mereka yang kuat di luar, tetapi rapuh di dalam. Ia tentang menerima hakikat tanpa membenci.

“Jika lagu ini mampu membuatkan seseorang rasa difahami dan tidak keseorangan, itu sudah cukup bermakna buat saya,” tambah beliau lagi.

Sayang Orang Sama kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital utama, manakala video muzik rasmi lagu ini bakal dilancarkan di saluran YouTube Nova Music Videos pada 2 Mac depan jam 3 petang.

Loading...