Ikuti Kami:

Ratu Jazz Sheila Majid Raikan 4 Dekad di Axiata Arena November Ini

Ratu Jazz Sheila Majid Raikan 4 Dekad di Axiata Arena November Ini

Ratu Jazz Nusantara, Sheila Majid bakal meraikan perjalanan karier seninya yang menjangkau empat dekad menerusi sebuah konsert mega yang dijadual berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 8 November 2025.

Konsert bertajuk Sheila Majid 40 Years In Music ini dianjurkan oleh Altus Prohouse dengan kerjasama TopGallant Show dan disifatkan sebagai acara kemuncak bagi menghargai legasi figura ikonik ini dalam industri muzik tanah air dan serantau.

Bukan sekadar sebuah persembahan tribute, konsert ini akan menjadi manifestasi perjalanan seni Sheila Majid yang tidak pernah berhenti berkembang meskipun usia semakin meningkat.

“Sejujurnya, masa berlalu begitu pantas. 40 tahun sudah pun berlalu dan kini saya sudah berada di usia 60-an. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong saya sepanjang perjalanan ini,”

“Orang kata, 40 tahun, 40 tahun. Tapi saya sendiri tidak rasa begitu kerana saya menganggap ini sebagai kerja yang saya suka lakukan.” kata Dato’ Sheila Majid pada sidang media di The Westin Kuala Lumpur hari ini.

Beliau turut meluahkan rasa terharu apabila muziknya kini semakin diterima oleh golongan muda termasuk Gen Z dan anak-anaknya sendiri.

“Anak saya yang berusia 18 tahun pun baru-baru ini berkata, Ibu, kawan-kawan saya tunjuk video ibu dan mereka suka muzik ibu. Jadi, saya sangat bersyukur,” katanya lagi.

Lebih membanggakan, ini juga menandakan kali pertama penyanyi legenda ini tampil dengan konsert berskala mega secara solo di pentas ‘indoor’ terbesar negara.

Menurut Miselyn Yee Siew dari Altus Prohouse, penganjuran konsert ini bertujuan meraikan pencapaian Sheila Majid yang kekal relevan selama 40 tahun menerusi karya-karya ikonik seperti Sinaran, Antara Anyer Dan Jakarta, Legenda dan Hitam Putih Kehidupan.

“Sheila Majid 40 Years In Music bukan sekadar konsert. Ia adalah perayaan terhadap perjalanan panjang Sheila yang penuh liku, cabaran dan kejayaan. Beliau membuktikan bahawa muzik berkualiti mampu bertahan merentas generasi,” jelasnya.

Konsert ini turut mendapat sentuhan barisan tenaga kreatif terkemuka termasuk Mac Chew selaku Pengarah Muzikal, Jenny Chin selaku kolaborator utama, Jennifer Thompson sebagai Pengarah Konsert dan Steve Ho sebagai pereka pentas dan pencahayaan bertaraf antarabangsa.

Tiket konsert akan mula dijual pada 17 Julai, jam 10 pagi menerusi platform Ticket2U. Harga tiket ditawarkan antara RM268 hingga RM768 bergantung kepada kategori tempat duduk dan RM3,400 (Zon Parti Eksklusif) yang menyediakan pengalaman lebih intim dan meriah bersama Sheila Majid, lengkap dengan Pek Parti istimewa yang akan diumumkan kelak

Tempahan boleh dibuat di www.ticket2u.com.my/sheilamajid40. Bagi pembeli Orang Kelainan Upaya (OKU), pembelian tiket boleh dilakukan melalui WhatsApp di talian hotline +6019-595 1931.

Sheila Majid 40 Years In Music bakal menjadi momen bersejarah yang hanya berlaku sekali. Tandakan kalendar anda 8 November 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Komen
Loading...