Ikuti Kami:

Ratu Dangdut Inul Daratista Gegarkan Pulau Pinang Disember Ini, Ditemani Amelina & Baby Shima

Ratu Dangdut Inul Daratista Gegarkan Pulau Pinang Disember Ini, Ditemani Amelina & Baby Shima

Selepas hampir 20 tahun tidak beraksi di pentas besar Malaysia, Ratu Dangdut Indonesia, Inul Daratista, akhirnya membuat kemunculan semula dengan sebuah konsert mega yang bakal berlangsung di Setia Spice Arena, Pulau Pinang pada 6 Disember ini.

Konsert yang diberi nama Inul Daratista Live In Malaysia – Millenial Dangdut Nusantara ini lebih istimewa apabila Inul bergandingan dengan dua bintang dangdut tanah air, Amelina dan Baby Shima, yang bakal menghangatkan suasana dengan persembahan penuh bertenaga.

“Saya gembira akhirnya kembali ke sini untuk sebuah konsert yang besar. Sebetulnya memang terlalu rindu untuk membuat persembahan di sini. Kali terakhir saya mengadakan konsert di Malaysia adalah pada 2007 di Stadium Malawati Shah Alam. Jadi, kepulangan kali ini amat bermakna,” kata Inul.

Inul yang sinonim dengan goyang gerudi memilih Pulau Pinang sebagai destinasi konsertnya kali ini, berbeza dengan persembahan terdahulu yang lebih banyak berpusat di Kuala Lumpur dan Genting Highlands.

“Saya benar-benar teruja untuk ke Pulau Pinang. Negeri ini begitu indah dan klasik. Kepada peminat di Malaysia, jangan lupa hadir pada 6 Disember nanti. Kita bergoyang bersama,” tambahnya.

Konsert yang dianjurkan oleh Fajar Baiduri Empire dengan sokongan Istana Budaya ini turut menampilkan kolaborasi bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) pimpinan Mohd Yazid Zakaria, yang menggabungkan 18 pemuzik dan 12 penari di bawah kumpulan ArtisTana.

Kemunculan kumpulan Mohram turut memberi warna baharu kepada persembahan tiga penyanyi dangdut itu.

Konsert dijangka menjadi pengalaman baharu kepada peminat muzik dangdut dengan gabungan elemen moden, tradisional dan kontemporari yang lebih segar.

Tiket ditawarkan pada harga serendah RM78 hingga RM498 bergantung kepada kategori, manakala pakej tambahan Meet & Greet berharga RM168 turut tersedia untuk peminat yang mahu pengalaman lebih eksklusif.

Tiket mula dijual bermula 9 September melalui laman web rasmi www.myticket.asia

Foto Oleh: Papadin.
.

Komen
Loading...