“Rasa & Takdir” Satukan Semula Amira Othman & Irfan Haris
- oleh Mohd Indera
- 10 Sep 2025 3:06 pm

Selepas sekian lama tidak bergandingan, penyanyi popular Amira Othman dan adiknya, Irfan Haris kembali bersatu menerusi single duet terbaharu berjudul Rasa & Takdir.
Lagu ciptaan bersama sepupu mereka, Syafiq Rashid serta Wan Salleh ini bukan sahaja menjadi medan pertemuan semula dua suara muda berbakat besar, malah memperlihatkan keakraban adik-beradik ini yang sama-sama meniti perjalanan seni sejak awal kemunculan mereka
Amira ketika ditemui berkata, dia merasakan projek ini adalah jawapan kepada penantian panjang peminat yang sering menginginkan gandingan semula mereka berdua.
“Sejak dulu ramai yang bertanya bila saya dan Irfan akan berduet lagi. Sebenarnya saya sendiri menunggu masa yang sesuai, kerana saya mahu karya itu benar-benar tepat untuk kami jayakan bersama. Bila Irfan datang dengan lagu ini, saya terus jatuh hati pada melodinya. Ia seakan-akan melengkapkan apa yang saya cari selama ini,” jelasnya.
Tambah Amira, lagu tersebut bukan sekadar kolaborasi seni, sebaliknya simbol kasih sayang yang erat dalam keluarga.
“Dari kecil lagi kami sudah biasa menyanyi bersama di rumah. Harmoni vokal yang ada itu bukan datang dalam sehari, tetapi dibina sejak kami kecil lagi. Bila masuk studio, semuanya jadi begitu natural, seolah-olah ia sudah dipupuk sekian lama. Saya rasa itu yang membuatkan lagu ini jadi lebih istimewa,” katanya.
Irfan pula mengakui pengalaman ini sesuatu yang amat istimewa kerana dapat berkongsi pentas kreatif bersama kakaknya sendiri, yang juga menjadi idolanya sejak mula berkecimpung dalam dunia seni.
“Saya rasa sangat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Kak Mira semula. Dari kecil saya memang menjadikannya sebagai contoh dan inspirasi. Apabila projek ini akhirnya menjadi kenyataan selepas perancangan sejak 2023, saya rasa ia satu penghargaan bukan sahaja buat diri saya, tetapi juga untuk hubungan kami sebagai adik-beradik,” katanya.
Mengulas tentang mesej lagu, Amira berkata “Rasa & Takdir” memberi ruang kepadanya untuk lebih memahami makna kehidupan.
“Kita selalu berdoa minta jalan terbaik, tapi kadang-kadang jawapannya hadir dalam bentuk yang tidak disangka. Lagu ini benar-benar mengingatkan saya tentang erti takdir,” jelasnya.
Majlis pelancaran single yang turut dihadiri ahli keluarga Amira menerima kejutan apabila pelakon dan penyanyi popular, Fattah Amin membuat kejutan dengan mengumumkan bakal melangsungkan perkahwinan bersama Amira Othman pada 14 September ini.
“Insya-Allah, saya dan Amira akan disatukan pada 14 September. Doakan yang baik-baik buat kami berdua,” kata Fattah disambut tepukan gemuruh tetamu yang hadir.
Dengan kekuatan vokal yang saling melengkapi, mesej mendalam dan sentuhan produksi moden, “Rasa & Takdir” diyakini menjadi antara duet paling istimewa tahun ini.
Lagu terbitan Sony Music Entertainment Malaysia ini kini boleh didengarkan di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube.