Ikuti Kami:

Rangga & Cinta: Nafas Baharu Kisah Ikonik Generasi 2000-an

Rangga & Cinta: Nafas Baharu Kisah Ikonik Generasi 2000-an

Dua dekad selepas Ada Apa Dengan Cinta? (AADC) mencetuskan fenomena dan menjadi lambang cinta remaja di awal milenium, sutradara terkenal Riri Riza kini menghidupkan semula kisah ikonik itu menerusi karya terbaharu berjudul Rangga & Cinta.

Dihasilkan di bawah produksi Miles Films, filem ini bukan sekadar mengimbas nostalgia tetapi menyuntik semangat baharu dengan sentuhan muzikal, puisi dan visual sinematik yang indah. Ia meraikan cinta, rindu dan pencarian diri dalam dunia remaja yang terus berevolusi.

Menampilkan pelakon muda berbakat Leya Princy sebagai Cinta dan El Putra Sarira sebagai Rangga, filem ini turut diterbitkan oleh trio penerbit hebat Mira Lesmana, Toto Prasetyanto dan Nicholas Saputra.

Kisah bermula dengan Cinta, seorang pelajar popular dan kreatif yang menyertai pertandingan puisi tetapi gagal meraih kemenangan. Namun kekalahannya mempertemukannya dengan Rangga, pelajar pendiam yang menjuarai pertandingan itu.

Pertemuan yang bermula dengan pertentangan akhirnya menumbuhkan hubungan yang indah, cinta yang sederhana tetapi sarat makna.

Lagu-lagu asal yang digubah khas untuk filem ini turut memainkan peranan besar dalam membalut emosi dan membawa penonton menyelami perjalanan jiwa dua insan muda ini.

Menurut pihak produksi, Rangga & Cinta bukan sekadar sebuah remake tetapi satu penghormatan kepada karya klasik yang membentuk sejarah sinema Indonesia.

Ia membuka ruang baharu untuk tafsiran yang lebih segar dan ekspresif sambil memperkenalkan semula kekuatan puisi sebagai bahasa cinta dan jiwa.

Dengan keindahan visual, alunan muzik serta emosi yang tulus, Rangga & Cinta dijangka menjadi naskhah yang menghubungkan dua generasi, mereka yang membesar dengan kisah cinta AADC dan generasi baharu yang bakal jatuh cinta buat kali pertama.

Rangga & Cinta dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 6 November 2025.

Komen
Loading...