Ikuti Kami:

Ramai Guru Tidak Bersetuju Cuti Akhir Tahun Dipendekkan

Ramai Guru Tidak Bersetuju Cuti Akhir Tahun Dipendekkan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan pindaan Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020 pada Rabu yang mana cuti persekolahan akhir tahun dipendekkan kepada dua minggu sahaja.

Perkara ini telah mendapat pelbagai reaksi dari guru-guru yang merasakan KPM tidak memgambil kira pandangan guru-guru di peringkat bawah.

Rata-rata meninggalkan komen di Facebook KPM menyuarakan pandangan adalah dari kalangan guru yang mengajar di Sabah dan Sarawak.

“kejamnya KPM..kami ni mereput lama di sarawak ni..tak balik setahun kot..ritu bulan 3 tak balik pun!ni nak balik raya haji datang sarawak kena pulak kuarantin 14 hari lepas tu adilkah untuk cikgu2 semenanjung mengajar sarawak ni?”

“Ya Allah! Saya ni terperangkap pkp di sarawak kotttt! Raya pon tak balik. Semalam baru beli tiket nak balik raya haji punyalah dok menghitung hari nak balik! Tau tak harga tiket tu mahallllll!!!! Tup2 tak cuti masa tu????? Lebih setengah tahun kot tak balik jumpa mak ayah! Tiket tu siapa yang nak ganti???”

“KPM… Sebelum buat keputusan… Sepatutnya pikir, mcm mana kami cikgu2 semenanjung yg duduk di sabah dgn sarawak? Kami ni time PKP, PKPB dan PKPP x boleh balik… Lpstu, still lg mengajar online… Jd, apa la tujuan pengajaran online dilakukan akhirnya keputusan keluar mcm ni? ”

“Ini tidak adil untuk kami guru2 semenanjung yg berkhidmat di Sabah Sarawak dan yang sentiasa patuh pada arahan kerajaan.Kami menjalankan tugas PDPJJ setiap hari tanpa culas.Bekerja dari rumah lebih mencabar dengan semua anak2 berada dirumah.”

Rata-rata merasakan keputusan memendekkan cuti akhir tahun ini tidak adil kerana guru-guru tetap melakukan tugas mereka sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan melaksanakan kelas dalam talian setiap hari serta bersungguh-sungguh menghantar kerja rumah melalui WhatsApp dan gigih merakam video untuk tontonan anak murid.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) turut menggesa KPM menilai semula langkah pindaan Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020 yang turut melibatkan pengurangan  Cuti Pertengahan Penggal 2.

Presidennya, Aminuddin Awang berpendapat keputusan dibuat kementerian itu dibuat secara tergesa-gesa tanpa berbincang dengan pihak NUTP.

“Kita harap apa yang dibuat ini akan dibuat penilaian semula dan kita harap NUTP yang mewakili suara guru di peringkat akar umbi akan dibawa berbincang untuk menentukan apa sahaja melibatkan guru supaya kita ada maklumat di peringkat bawah tentang apa sahaja yang berlaku.

“Kita hanya mendapat berita sama seperti guru lain, apabila ia tular di media sosial dan kenyataan dikeluarkan KPM. Ini adalah suatu yang mengejutkan kita. Kita kesal kerana kita tidak dibawa berbincang. Sekiranya kita dibawa berbincang, kita akan dapat memberikan pandangan dari sudut guru-guru di peringkat bawah,” katanya seperti dipetik Astro Awani pada Selasa.

Cuti akhir tahun bagi sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dikurangkan daripada 42 hari kepada 14 hari, manakala kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) dikurangkan daripada 41 hari kepada 13 hari.

Katanya, pindaan itu bertujuan membantu sekolah membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran pelajar kerana selepas sekolah sudah ditutup lebih 3 bulan.

Sekolah akan dibuka semula esok untuk pelajar tingkatan 5 dan 6 yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Komen
Loading...