Ikuti Kami:

“Ramadan Is Here”: Farhana Ali Ajak Peminat Hayati 99 Nama Allah

“Ramadan Is Here”: Farhana Ali Ajak Peminat Hayati 99 Nama Allah

Penyanyi dan penulis lagu berbakat dari United Kingdom (UK), Farhana Ali, tampil dengan buah tangan terbaharu sempena kedatangan bulan mulia, menerusi single berjudul “Ramadan Is Here” yang dilancarkan pada 15 Februari lalu.

Karya yang menyentuh hati itu bukan sekadar hiburan semata-mata, malah menjadi satu ajakan kerohanian buat pendengar di seluruh dunia untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT, terutama sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Farhana yang merupakan wanita Muslim solo pertama di UK yang mengeluarkan album, berkata single terbabit memberi fokus kepada keagungan 99 nama Allah (Asmaul Husna).

“Melalui ‘Ramadan Is Here’, saya berharap dapat menghadirkan lagu yang menginspirasikan refleksi, keimanan, dan perpaduan. Ia menjadi cara muzik untuk menyediakan hati dan rumah kita bagi menyambut bulan suci yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Salah satu bait lirik yang cukup memberi kesan dalam lagu tersebut berbunyi: “Ask by His names, all 99 this Ramadan, Allah Al Qudoos, He will be waiting for you,” yang menjadi peringatan lembut agar umat Islam sentiasa berdoa dan menyampaikan du’a dengan penuh keikhlasan.

Selain melodi yang tenang dan lirik yang menyentuh jiwa, lagu terbitan Universal Music ini turut dilengkapi dengan video muzik (MV) yang memukau.

MV tersebut difilemkan di London Islamic Cultural Society and Mosque (LICS), memaparkan gabungan visual ibadah yang intim dan refleksi diri.

Selain itu, ia turut menyelitkan detik-detik manis kehidupan harian sepanjang Ramadan, bermula daripada persiapan menyambut bulan suci, suasana berbuka puasa bersama keluarga, sehingga kemeriahan membungkus hadiah untuk menyambut Hari Raya.

Visual berkenaan disifatkan berjaya meraikan keseimbangan antara tuntutan rohani dan tradisi kekeluargaan yang menyatukan.

Farhana, yang terkenal dengan suaranya yang merdu dan lagu berunsur keimanan, berharap pendengar dapat menghayati mesej yang cuba disampaikan bagi menyambung semula hubungan dengan Pencipta sepanjang bulan yang dijanjikan rahmat ini.

“Ramadan Is Here” kini boleh didengar di semua platform penstriman utama.

Loading...