Ikuti Kami:

Ramadan Bukan Sekadar Iftar Mewah, Tetapi Masa Untuk Keinsafan – PMX Anwar

Ramadan Bukan Sekadar Iftar Mewah, Tetapi Masa Untuk Keinsafan – PMX Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa bulan Ramadan bukan sekadar tentang majlis berbuka puasa yang mewah, tetapi masa untuk keinsafan dan memperkukuhkan nilai kemanusiaan dengan membantu golongan yang memerlukan.

Anwar berkata umat Islam perlu menjadikan Ramadan sebagai peluang untuk memperbaiki diri, memperkukuh amalan rohani, dan memberi perhatian kepada mereka yang kurang bernasib baik.

“Ramadan ini seharusnya menjadi masa untuk kita lebih insaf dan berusaha menyampaikan bantuan kepada masyarakat kurang bernasib baik, bukan sekadar memewahkan acara iftar dan kegiatan kita,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengingatkan kementerian serta jabatan kerajaan agar mengamalkan kesederhanaan dalam majlis rasmi supaya lebihan dana dapat disalurkan kepada golongan memerlukan.

“Saya perhatikan ada kalanya jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan menyediakan sumbangan dalam bentuk terlalu mewah. Sebagai contoh, kotak-kotak pembungkusan sangat indah tetapi harganya mungkin lebih mahal daripada isi seperti kurma diberikan. Ini satu pembaziran,” ujarnya menurut laporan Bernama.

Selain menekankan aspek kesederhanaan, Anwar turut menyeru masyarakat untuk mendalami dan mengamalkan ajaran al-Quran sepanjang bulan Ramadan sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

“Syahrul Ramadan adalah bulan turunnya al-Quran, yang menjadi panduan untuk menentukan pertimbangan antara yang baik dan buruk.

“Maka, marilah kita semua mengambil kesempatan ini untuk mendalami dan mengamalkan ajaran al-Quran,” katanya.

Dengan seruan ini, Perdana Menteri berharap umat Islam dapat menghayati Ramadan dengan lebih bermakna, bukan hanya sebagai bulan ibadah, tetapi juga bulan untuk memperkukuh rasa tanggungjawab sosial dan membantu mereka yang dalam kesusahan.

Foto Oleh : PMO.

Komen
Loading...