Rakyat Malaysia Diminta Hindar Kawasan Protes Di Amerika, Patuh Perintah Berkurung – Hishammuddin
- oleh Mohd Indera
- 4 tahuns lalu
Rakyat Malaysia di Amerika Syarikat (AS) diminta menghindari kawasan protes dan patuhi perintah berkurung yang dikuatkuasa negara itu selepas ribuan penunjuk perasaan turun ke jalan raya berikutan insiden kematian George Floyd ketika ditahan polis, Isnin lepas.
Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut menggesa rakyat Malaysia di negara itu untuk berdaftar segera dengan Kedutaan Malaysia agar bantuan mudah disalur.
“Situasi di US (Amerika Syarikat) amat tidak menentu ekoran protes di beberapa bandar…Take care & #StaySafe!,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitternya, hari ini.
Situasi 🇺🇸 US amat tidak menentu ekoran protes di beberapa bandar. Rakyat M’sia di US mesti hindari kwsn protes serta patuh perintah berkurung. Rakyat M’sia yg belum berdaftar dgn Kedutaan juga mesti lakukannya segera agar mudah utk kita bantu bila perlu. Take care & #StaySafe! pic.twitter.com/SlejQcKWyQ
— Hishammuddin Hussein (@HishammuddinH2O) June 1, 2020
AFP melaporkan Los Angeles, Philadelphia dan Atlanta antara beberapa bandar raya di AS yang mengumumkan perintah berkurung sejak Sabtu lepas dalam usaha mengekang protes anti kekejaman polis yang meletus di seluruh negara itu.
Perintah berkurung pada waktu malam juga dilaksanakan di Louisville, Kentucky ketika AS terus digegarkan oleh para pendemonstrasi.
Dalam kejadian di Minnieapolis, AS pada 25 Mei, Floyd, dikatakan ditahan oleh seorang anggota polis yang menekan lehernya menggunakan kaki sehingga beliau mengalami sesak nafas, dan akhirnya meninggal dunia di hospital.