Ikuti Kami:

Raja Perlis Perkenan Menghidupkan ‘Syiar Jumaat’, AJK Masjid Dibenar Solat Jumaat Mulai 15 Mei

Raja Perlis Perkenan Menghidupkan ‘Syiar Jumaat’, AJK Masjid Dibenar Solat Jumaat Mulai 15 Mei

Perintah berkenaan dikeluarkan selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sebagai permulaan untuk membolehkan ‘syiar Jumaat’ dihidupkan kembali.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam kenyataan berkata, bagaimanapun pelaksanaannya hanya terhad kepada jawatankuasa masjid tanpa dihadiri orang awam.

 

“Peraturan disediakan untuk masjid di Perlis agar didirikan solat Jumaat selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ekoran COVID-19 setelah mengambil kira dan mempertimbangkan pandangan dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Jawatankuasa Muazakarah Khas Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sehubungan itu, solat Jumaat hendaklah didirikan dengan mematuhi ketetapan tertentu seperti jumlah jemaah termasuk imam dan khatib tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang daripada tiga orang.

“Masjid tidak dibuka kepada awam sebaliknya, hanya pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa Masjid sahaja dibenarkan melakukan solat Jumaat di masjid,” kata kenyataan itu, hari ini.

Kenyataan itu berkata, jemaah juga dikehendaki berwuduk terlebih dahulu sebelum ke masjid dan pelaksanaan rukun solat Jumaat terhad selama 15 minit sahaja dan mereka berusia 60 tahun dan ke atas tidak dibenarkan hadir ke masjid.

“Setiap yang diizinkan hadir hendaklah membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran.

“Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selsema serta mempunyai sejarah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah dan sebagainya tidak dibenarkan hadir.

“Jemaah mestilah melaksanakan penjarakan sosial semasa solat (sekurang-kurangnya 2 meter) serta diwajibkan memakai pelitup muka ketika menunaikan solat,” katanya.

“Tiada kontak fizikal dibenarkan di dalam masjid sama ada sebelum atau selepas solat serta jemaah hendaklah terus beredar meninggalkan kawasan masjid seusai selesai solat,” katanya.

Komen
Loading...