Bintang pop tersohor Indonesia, Raisa, bakal kembali mengubati kerinduan peminat di Malaysia menerusi konsert jelajah terbaharunya, Raisa Ambivert Tour, yang dijadualkan berlangsung di lokasi ikonik, Zepp Kuala Lumpur pada 13 Februari depan.
Konsert ini menjanjikan satu persembahan seni yang lebih intim, sesuai dengan tema ‘Ambivert’ yang mencerminkan dua sisi personaliti unik penyanyi itu melalui gabungan elemen dinamik dan emosi dalam satu persembahan bertenaga.
Pengarah Sembang Kari Entertainment, En. Mohd Fuad bin Simim berkata, penganjuran semula konsert Raisa di ibu kota adalah satu penghormatan memandangkan penyanyi itu mempunyai ikatan emosi yang sangat kuat dengan peminat tempatan.
“Menerusi konsep ‘Ambivert’ ini, kami ingin memberi ruang kepada peminat untuk melihat sisi Raisa yang lebih jujur di mana ada ketikanya suasana menjadi sangat dekat dan ‘healing’, manakala ada ketikanya pula penuh dengan keriangan pop yang dinamik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Raisa turut meluahkan rasa tidak sabar untuk kembali ke Kuala Lumpur yang dianggapnya sebagai lokasi istimewa sepanjang kerjaya seninya kerana sokongan peminat yang sentiasa luar biasa.
“Menerusi Ambivert Tour, saya ingin membawa penonton menyelami dua sisi berbeza dalam diri saya iaitu masa yang sangat intim dan tenang, serta masa yang penuh dengan keriangan.
“Saya telah menyediakan susunan muzik yang istimewa untuk malam itu dan tidak sabar untuk mencipta kenangan baharu bersama anda semua,” ujar Raisa.
Konsert anjuran bersama Sembang Kari Entertainment dan MHT Live My dengan kerjasama Juni Concert ini turut menampilkan penyanyi berbakat, Barsena Bestandhi sebagai artis jemputan yang akan memberikan warna muzik berbeza pada malam tersebut.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan ini, tiket ditawarkan pada harga bermula dari RM 239 sehingga RM 999 mengikut kategori zon berdiri atau tempat duduk bernombor.
Pihak penganjur turut menyediakan kemudahan pembayaran secara ansuran melalui platform SPayLater, PayLater by Grab, dan Atome.
Bagi pemegang tiket kategori VIP BOX, mereka bakal menikmati keistimewaan eksklusif termasuk sesi ramah mesra (Meet & Greet) bersama Raisa, barangan rasmi, lanyard, dan poster.
Peminat boleh mula mendapatkan tiket melalui laman web rasmi di RAISAMBIVERT.COM.




