Raih 236 Juta Penstriman, ‘Masing Masing’ Lagu Melayu-Indo Terpantas Pecah Rekod Asia
- oleh MDaily Editor
- 12 Mar 2026 2:16 pm
Karya hit “Masing Masing”, kolaborasi antara penyanyi wanita popular Malaysia, Ernie Zakri dan komposer tersohor Indonesia, Ade Govinda, terus melakar sejarah apabila meraih lebih 236 juta penstriman di platform Spotify.
Pencapaian luar biasa itu turut mendapat pengiktirafan rasmi daripada Asia Book of Records sebagai lagu Melayu/Indonesia terpantas mencapai angka 200 juta penstriman menjelang Ogos 2025, sekali gus memecah rekod bagi kategori berkenaan di peringkat serantau.
Ernie Zakri berkata kejayaan naskhah tersebut merupakan satu pencapaian yang tidak dijangka memandangkan matlamat utama penghasilannya adalah untuk menyampaikan sebuah karya yang jujur dari sudut emosi.
“Saya sangat terharu dan bersyukur apabila mendapat tahu ‘Masing Masing’ diiktiraf oleh Asia Book of Records. Sejujurnya, semasa menghasilkan lagu ini bersama Ade Govinda, kami hanya mahu berkarya dengan ikhlas.
“Melihat ia kini meraih sambutan luar biasa sehingga melakar sejarah, saya amat menghargai sokongan padu para pendengar, terutamanya peminat setia, Ernienators,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, pengiktirafan daripada Asia Book of Records itu bukan sahaja meraikan kejayaan angka penstriman, malah berfungsi sebagai platform kredibel yang meningkatkan profil artis ke peringkat antarabangsa serta memperluaskan pendedahan media di seluruh rantau Asia.
Kejayaan ini turut mengukuhkan profil seni Ernie Zakri selepas beliau dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Disember 2025 yang lalu.
Lagu “Masing Masing” yang menonjolkan kekuatan vokal Ernie dan sentuhan gitar Ade Govinda itu mula mendapat perhatian meluas sejak dilancarkan, bukan sahaja di Malaysia dan Indonesia, malah di Singapura serta Brunei Darussalam menerusi mesej penceritaan yang bersifat universal.
Kolaborasi ini membuktikan keberkesanan sinergi muzik serantau dalam menembusi sempadan negara serta menyatukan pendengar di Asia Tenggara menerusi karya yang berkualiti tinggi.




