Radja Raikan 25 Tahun Perjalanan Seni di Stadium Hoki Bukit Jalil Julai ini
- oleh MDaily Editor
- 13 May 2026 8:11 pm
Kumpulan rock popular dari Indonesia, Radja, bakal kembali mengubat kerinduan peminat di Malaysia menerusi Konsert Revolusi Radja 25 Tahun yang dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 11 Julai depan.
Konsert anjuran Dhyah Prod7ction bersama Infinity Love Creative Ventures itu diadakan secara eksklusif bagi meraikan jubli perak penglibatan kumpulan itu dalam industri muzik Nusantara, sekali gus sebagai tanda penghargaan buat peminat yang menyokong perjalanan seni mereka sejak dua dekad lalu.
Wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd Aris berkata, konsert solo ini merupakan jawapan buat peminat yang masih ‘belum puas’ menyaksikan aksi Radja ketika Konsert RadjaWali pada Januari lalu.
“Kali ini, Radja akan muncul dalam format konsert solo penuh yang memberi fokus kepada kekuatan vokal, muzik dan identiti sebenar mereka. Ia adalah peluang terbaik untuk peminat merasai pengalaman persembahan yang lebih intim dan bertenaga,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Jakarta, di sini, hari ini.

Menambah keunikan konsert tersebut, lagu-lagu hits seperti Cinderella, Jujur dan Manusia Biasa bakal diberi nafas baharu menerusi segmen tribute muzik elektronik (EDM) hasil kolaborasi dua DJ profesional wanita dari Malaysia dan Indonesia.
Setakat ini, DJ popular Indonesia, Nathalie Holscher, telah mengesahkan penglibatannya bagi mempersembahkan susunan muzik yang lebih segar tanpa melenyapkan roh asal karya-karya berkenaan.
Sementara itu, vokalis Radja, Ian Kasela menyifatkan Malaysia sebagai lokasi yang sentiasa mendapat tempat istimewa di hati setiap anggota kumpulan itu.
“Konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu perjalanan emosi yang meraikan 25 tahun kenangan bersama peminat di Nusantara. Kami tidak sabar untuk kembali ke Kuala Lumpur dan berkongsi malam penuh nostalgia ini,” katanya.
Selain barisan anggota asal iaitu Ian Kasela (vokal), Moldy (gitar), Adit (bass) dan Seno Aji (dram), konsert ini juga bakal dimeriahkan dengan penampilan beberapa penyanyi jemputan dari Malaysia yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Peminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kategori harga dan jualan tiket menerusi laman sesawang rasmi https://www.airasia.com/movetix/ tidak lama lagi.
