Ikuti Kami:

Radja dan Wali Kembali Gegarkan Malaysia Januari Depan

Radja dan Wali Kembali Gegarkan Malaysia Januari Depan

Dua kumpulan muzik legenda dari Indonesia, Radja dan Wali, bakal kembali menghiburkan peminat Malaysia menerusi konsert mega “Pentas RadjaWali Live in Malaysia” yang dijadual berlangsung pada 10 Januari 2026 di Idea Live Arena, Petaling Jaya.

Gabungan dua nama besar dalam industri muzik Nusantara itu dijangka mencetus fenomena tersendiri apabila kedua-dua kumpulan ini tampil bersama di satu pentas buat pertama kali dalam sejarah.

Nama RadjaWali sendiri membawa simbol kekuatan dan kesatuan dua kumpulan yang masing-masing memiliki barisan peminat setia di Malaysia serta Indonesia. Konsert ini menjanjikan satu malam luar biasa, sarat dengan nostalgia dan persembahan penuh bertenaga.

Peminat Radja pasti teruja untuk menyanyikan bersama lagu-lagu popular seperti “Jujur”, “Tulus”, “Bulan” dan “Cinderella”.

Manakala kumpulan Wali pula bakal memeriahkan suasana dengan lagu-lagu hits seperti “Cari Jodoh”, “Baik-Baik Sayang”, “Yank”, “Doaku Untukmu Sayang” dan “Tomat (Tobat Maksiat)”.

Radja yang ditubuhkan pada tahun 2001 di Banjarmasin, Kalimantan Selatan, dianggotai oleh Ian Kasela (vokal), Moldy (gitar utama), Indra Riwayat (bass) dan Seno Aji Wibowo (dram). Menurut vokalis utama, Ian Kasela, mereka tidak sabar untuk kembali beraksi di hadapan peminat Malaysia.

“Malaysia selalu dekat di hati kami dan kami tidak pernah melupakan peminat di sini. Ia satu impian yang menjadi kenyataan apabila kami dijemput untuk beraksi semula. Kami berjanji akan berikan persembahan terbaik untuk semua yang hadir,” katanya.

Kumpulan Wali pula, yang ditubuhkan pada tahun 1999 di Ciputat, Tangerang Selatan, dianggotai oleh Faank (vokalis utama), Apoy (gitar & komposer), Ovie (keyboard) dan Tommy (dram). Membawa genre pop, pop rock, pop religi dan pop melayu, Wali telah membina legasi tersendiri di rantau ini.

“Syukur… Malaysia ibarat rumah kedua kami. Kami amat merindui sambutan mesra serta juadah enak di sini. Untuk konsert kali ini, kami akan tampil dengan persembahan berbeza daripada sebelumnya,” ujar Faank mewakili kumpulan itu.

Konsert Pentas RadjaWali Live in Malaysia dianjurkan oleh Impian Al Fateh Sdn. Bhd. dan GIS Entertainment & Events, dengan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) sebagai penganjur bersama.

Tiket kini boleh didapati menerusi Fantopia.io dan pembelian turut boleh dibuat dengan lebih mudah melalui ShopeePay. Harga tiket ditawarkan bermula dari RM177 hingga RM977, mengikut kategori tempat duduk.

Dengan kombinasi suara unik Ian Kasela dan Faank, konsert Pentas RadjaWali Live in Malaysia dijangka menjadi malam penuh kenangan dan cinta terhadap muzik serumpun yang tidak pernah pudar.

Komen
Loading...