Ikuti Kami:

Rabbit Mac Cipta Sejarah, Single “Watch Me” Jadi Runut Bunyi Filem Hollywood

Rabbit Mac Cipta Sejarah, Single “Watch Me” Jadi Runut Bunyi Filem Hollywood

Penyanyi rap dan penerbit terkenal Malaysia, Rabbit Mac mencatat sejarah tersendiri apabila single terbarunya berjudul Watch Me dipilih sebagai runut bunyi rasmi filem Hollywood terbaru, American Warrior arahan Gustavo Martin.

Filem tersebut menampilkan barisan pelakon antarabangsa termasuk Danny Trejo, Veronica Falcón serta penampilan sulung Vishy Ayyar.

Muncul dari pentas hip-hop underground Malaysia, Rabbit Mac kini mengangkat nama negara ke peringkat antarabangsa sebagai antara rapper bebas yang berjaya menembusi pasaran global.

Sebelum ini, beliau dikenali dengan lagu popular seperti Kukubee, Yejamaa, Muax dan Nalla Paatu, selain kerjasama dengan artis terkemuka Malaysia dan India.

Kejayaan Watch Me bukan sahaja menandakan kepulangannya selepas lima tahun menyepi, tetapi juga mengukuhkan kedudukannya sebagai pelopor hip-hop Tamil Malaysia.

Lagu ini, yang menampilkan Amore Jones dan Vish Iyer, mengangkat tema ketabahan, perjuangan serta semangat kebangkitan, sejajar dengan kisah yang diketengahkan dalam American Warrior.

“Watch Me adalah tentang penantian, ketabahan, dan sebuah comeback yang penuh power. Pada intinya, ia adalah satu deklarasi: tiada kebencian, diskriminasi, atau penghakiman yang mampu menghentikan kebangkitan ini,” kata Rabbit Mac.

Menurut beliau lagi, setiap bait lirik Watch Me dicipta untuk memberi inspirasi kepada pendengar.

“Lagu ini berani, penuh tenaga dan sesuai dimainkan ketika anda sedang mengejar sesuatu impian atau perlukan dorongan untuk mara ke hadapan,” jelasnya.

Dengan pengalaman luas sebagai komposer dan penerbit, Rabbit Mac sebelum ini turut menghasilkan pelbagai runut bunyi filem.

Namun, pengiktirafan di Hollywood ini dilihat sebagai satu detik bersejarah bukan sahaja untuk dirinya, malah bagi industri muzik tempatan.

“Menjadi sebahagian daripada runut bunyi filem Amerika adalah detik yang membanggakan. Saya berharap ia membuka lebih banyak peluang untuk artis Malaysia melangkah ke pentas global,” katanya.

Single Watch Me kini boleh didapati di semua platform digital.

Komen
Loading...