Rabbani Bangkit Dengan Konsert Intifada Selepas 25 Tahun
- oleh Mohd Indera
- 28 Jul 2025 6:03 pm

Selepas lebih dua dekad menanti, kumpulan nasyid lagenda tanah air, Rabbani, akhirnya bakal menggegarkan pentas utama menerusi konsert solo mega mereka yang dinamakan Konsert Intifada Rabbani, hasil penganjuran syarikat Universe Gateway.
Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 20 September 2025 di Idea Live Arena, Petaling Jaya, bukan sekadar persembahan hiburan, tetapi simbol kebangkitan semula kumpulan yang pernah mencetuskan fenomena nasyid sekitar era 90an.
Menurut wakil kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz, konsert ini adalah impian yang telah dipendam selama 25 tahun.
“Konsert ini antara konsert yang kami nanti-nantikan sejak 25 tahun lalu. Lagu Intifada keluar pada tahun 2000, selama 25 tahun ini, banyak persiapan telah kami rancang untuk merealisasikan impian ini.”
“Dengan lagu-lagu iringan yang kami bawakan, insyaAllah kami akan buat yang terbaik. Pastinya perisiannya lain daripada konsert yang lain.” katanya.
Walaupun konsert ini membawa tema kebangkitan dan perjuangan, namun seperti dalam filem-filem yang menyentuh hati, kami juga akan membawa segmen yang meruntun emosi sehingga kebangkitan.
“InsyaAllah, kami akan masukkan unsur-unsur itu supaya bukan hanya suami, bahkan seluruh keluarga dapat menghayati dan berhibur bersama. Lagu-lagu yang mengandungi elemen seperti itu juga akan dipersembahkan dalam konsert nanti.” katanya.
Rabbani kini dianggotai oleh Azadan Abdul Aziz, Asri Ubaidullah, Zulkiflee Azman, Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen, Mohamad Afandi Shahbudin dan Ahmad Shafie.
Mereka bakal mempersembahkan lagu-lagu ikonik seperti Intifada, Pergi Tak Kembali, dan Satu Qiblat Yang Sama dalam sebuah persembahan berdurasi dua jam.
Wakil penganjur, Zamri Muhammad Isa dari Universe Gateway, menyifatkan konsert ini sebagai usaha kolektif untuk mengangkat semula industri nasyid negara ke tahap lebih tinggi.
“Ia bukan sekadar konsert tetapi satu usaha positif untuk mengangkat martabat seni Islami ke tahap yang lebih tinggi.”
“Kehadiran mereka dalam konsert ini bukan sahaja membawa nostalgia zaman awal 90an, tetapi juga semangat baru untuk generasi baru pencinta muzik nasyid tanah air.” katanya.
Konsert Intifada Rabbani ini akan memberikan satu pengalaman spiritual dan emosi yang akan berjalan selama dua jam, diserikan dengan pelbagai gimik eksklusif serta susunan muzik yang menusuk jiwa.
“Kami harap mendapat sokongan daripada semua peringkat umum tanpa mengira bangsa dan agama. Kami mahu melihat kebangkitan industri nasyid seperti era kegemilangannya dahulu, dan kami yakin inilah detiknya.” katanya.
Lebih menarik, konsert ini turut menampilkan artis jemputan istimewa dari kumpulan Brothers, Yabang dan Aeydan yang akan bergabung tenaga dengan Rabbani dalam persembahan yang dinanti-nantikan.
Idea Live Arena, lokasi berkapasiti sehingga 7000 penonton, dipilih sebagai lokasi rasmi kerana kelengkapan teknikal bertaraf antarabangsa yang sesuai untuk persembahan berskala besar.
Tiket-tiket mula dijual 31 Julai 2025 melalui platform Ticket2U dan Fantopia.io, dengan harga bermula dari RM150 hingga RM258.