Ikuti Kami:

Quranic Madani: PU Riz Jemput Orang Ramai Sertai Majlis Ilmu di Tengah Ibu Kota

Quranic Madani: PU Riz Jemput Orang Ramai Sertai Majlis Ilmu di Tengah Ibu Kota

Pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz, mengajak seluruh lapisan masyarakat untuk meluangkan masa menghadiri program Quranic Madani – Night Reset: Bersatu Dalam Saf yang akan berlangsung di perkarangan Pavilion Bukit Bintang, Jumaat ini.

Program yang dianjurkan secara percuma itu merupakan satu inisiatif untuk membawa suasana kerohanian ke tengah-tengah kerancakan ibu kota, sekali gus menyemarakkan budaya membaca dan menghayati al-Quran dalam kehidupan seharian.

PU Riz berkata, penganjuran majlis tersebut bertujuan menghimpunkan seramai mungkin masyarakat untuk bersama-sama membaca serta memahami isi kandungan al-Quran tanpa mengira had usia.

“Insya-Allah, pada Jumaat ini kita bakal mengadakan majlis al-Quran, Quranic Madani bagi membolehkan kita berkumpul dalam satu saf untuk membaca dan memahami kalam Allah. Program ini terbuka kepada semua dan tiada sebarang bayaran dikenakan,” katanya.

Mengulas lanjut, PU Riz menjelaskan antara pengisian utama program tersebut adalah memberikan pendedahan awal kepada golongan kanak-kanak, khususnya yang berusia antara tiga hingga sembilan tahun, untuk memulakan hafazan.

Tumpuan akan diberikan kepada Juzuk 30 sebagai langkah pertama untuk memupuk minat dan kecintaan generasi muda terhadap kitab suci tersebut.

“Kita mahu memberi peluang kepada anak-anak kecil seawal usia tiga tahun untuk mula menghafal al-Quran. Tujuan utama kita adalah untuk melahirkan masyarakat yang dekat dengan al-Quran kerana sebaik-baik manusia adalah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya,” jelas beliau memetik hadis Rasulullah SAW.

Pemilihan lokasi di Bukit Bintang yang terkenal sebagai mercu tanda pelancongan dan pusat tumpuan ramai dilihat sebagai satu usaha dakwah yang unik untuk mendekati masyarakat kota.

Program dijadualkan bermula pada jam 8.30 malam. Orang ramai dinasihatkan untuk hadir lebih awal bagi memeriahkan majlis tersebut yang diharapkan dapat memberikan impak positif kepada kesejahteraan rohani masyarakat dan negara.

“Mari kita duduk bersama, membaca al-Quran dan menghayati setiap bait kalam Allah. Semoga usaha kecil ini mendapat keberkatan dan mengangkat martabat al-Quran melalui Quranic Madani,” ujarnya.